Monday, June 27, 2011

Felda mangsa 'hentam keromo'

Felda mangsa 'hentam keromo'

Felda sekarang tidak lagi diberi bantuan satu senpun oleh kerajaan. Sebabnya agensi kerajaan itu sudah boleh berdikari dan terbaru, mengeluarkan pula bajet untuk tahun ini sekitar RM1.6 bilion. Ia hasil dari tanah yang dilitupi kelapa sawit seluas 341,000 hektar.

Dengan semasa ini dihuni oleh 112,635 keluarga dan 1.6 juta generasi baru selain menjadi sumber rezeki 23,000 pekerja tetap dan 60,000 pekerja ladang, Felda adalah usaha pembangunan tanah dan pemilikan ladang terbesar di arena antarabangsa sejak ditubuhkan 55 tahun lalu.

Banyak kejayaan diraih Felda. Antara yang masih segar ialah ia merupakan pengeluar gula utama negara dengan menguasai 70 peratus kepentingan dalam Malayan Sugar Manufacturing Co. yang dimiliki jutawan Tan Sri Robert Kuok. Felda juga memiliki pusat bioteknologi terbesar di Nilai dengan mengeluarkan klon-klon kelapa sawit baru yang bagus. Felda turut mengeluarkan elektrik daripada Biomas iaitu bahan-bahan buangan sawit.

Jadi, tidak hairanlah mengapa pembangkang begitu 'kepingin benor' mahu merampas kawasan pilihan raya Felda. Tidak senang duduk mereka sehingga suatu ketika diuar-uarkan Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di kerusi DUN Kerdau awal tahun ini. Untunglah Tuan Ibrahim tidak bersaing sebagai calon Pas, kalau tidak malulah dia mahu 'mencanang' lagi isu Felda di Jengka bersama Mazlan Aliman, pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda SeMalaysia (Anak). Di Kerdau - kubu kuat Felda - tempoh hari, Pas kalah di semua saluran mengundi kepada BN.

Rentetan kemajuan Felda tadi antara lain mengukuhkan lagi amaran yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lalu tentang cubaan pembangkang memecahbelahkan masyarakat peneroka yang tidak lebih daripada permainan politik untuk meraih undi.

Dalam soal ini, pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk mendakwa Felda bankrap sedangkan hakikatnya tidak begitu. Terbaru, pembangkang mahu hapuskan Felda Plantation dan tanah berkenaan diberi kepada anak-anak peneroka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di Putrajaya semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, ada banyak sebab mengapa kegelojohan pembangkang mahu menjual Felda Plantation dan seterusnya mengagih-agihkan tanah seluas 341,000 hektar itu kepada anak-anak peneroka atau generasi baru Felda perlu diperjelaskan menerusi fakta dan kerasionalannya. Bukannya mengikut emosi semata-mata.

"Tanah 341,000 hektar ini merupakan tanah bebas hak milik Felda iaitu tidak ada sekatan untuk dijual. Ini berbeza dengan status tanah 10 ekar kebun, suku ekar tapak rumah selain rumah asal yang diberikan kepada 112,635 keluarga peneroka yang tidak boleh dijual.

"Bayangkan, kalau anak-anak peneroka dapat tanah itu, ini bukanlah satu tuduhan tapi analogi, bayangkan kalau ada segelintir yang tidak bertanggungjawab... dapat sahaja tanah itu hari ini, esok dijualnya.

"Jadi, habislah tanah Melayu ini dan DAP sukalah. Dan kalaulah dibahagikan 1.6 juta anak peneroka ini dengan 341,000 hektar tanah ini, maka seorang hanya dapat seekar sahaja. Tanah ini ada di merata pelosok negara dengan kebanyakannya tidak ada prasarana seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya. Macam mana hendak dibangunkan," kata beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda.

Ahmad turut mendedahkan: "Lagipun daripada 341,000 hektar ini, 100,000 hektar terletak di Sabah. Macam mana nak bangunkan tanah orang Sabah, takkan kita nak kacau tanah orang Sabah. Kalau di Semenanjung pun, kedudukan tanah-tanah ini di tepi hutan di Pahang dan Negeri Sembilan, payah hendak dibangunkan kalau tidak ada modal," katanya.

Tapi malangnya, kata Ahmad, pembangkang tidak kisah semua itu. Malah, desakan supaya dijual Felda Plantation dijadikan salah satu daripada 10 agenda 'Buku Jingga' mereka.

"Seeloknya 'Buku Jingga' ini dibuang dalam longkang sahaja," tegasnya.

Ahmad menarik perhatian meskipun Felda Plantation merupakan satu daripada 88 anak syarikat Felda, ia sebenarnya penyumbang terbesar pendapatan Felda - yang bergerak dan menjana keuntungan di bawah satu kumpulan - menerusi ladang kelapa sawitnya.

"Bajet Felda RM1.6 bilion inilah yang digunakan untuk membayar duit raya, bonus dan khairat kematian keluarga peneroka. Bajet inilah juga digunakan untuk membayar gaji 23,000 pekerja Felda dan 60,000 pekerja ladang.

"Juga, inilah belanja untuk mendirikan dewan orang ramai, gelanggang futsal, memberi pinjaman untuk membaikpulih rumah dan kepada usahawan Felda. Jika mahu dijual Felda Plantation ini dan kemudian diagih-agihkan tanah kepada generasi baru, apa lagi yang tinggal, pembangkang kemudian bolehlah lepas tanganlah dan salahkan kerajaan pula," katanya.

Malah, beliau percaya, tidak mungkin keluarga peneroka tidak mahu memikirkan nasib 23,000 pekerja Felda dan 60,000 pekerja ladang tadi.

"Saya tidak fikir peneroka akan tamak sebegitu sekali, mereka tentu ada 'hati perut' yang tidak sama dengan pembangkang," katanya.

Felda sejak kebelakangan ini menjadi 'sepak terajang' pembangkang sehinggakan ia dihina dengan bermacam-macam gelaran yang tidak manis didendangkan oleh orang Melayu sendiri iaitu Pas. Antaranya seperti 'Stok Penimbal BN', lemah iman, kemaruk dengan harta benda dan mentaliti mundur.

Macamlah keluarga Felda tidak ada perasaan - tidak kecil hati dan tidak pula meluat dengan gelaran yang dilemparkan oleh parti yang dulunya konon memperjuangkan negara Islam tetapi kini negara kebajikan - yang entah apa hendak dikebajikannya pula.

"Ketika Pas dan suku sakatnya, PKR dan DAP sibuk membuat ceramah, BN mengatur program untuk manfaat keluarga dan anak-anak Felda.

"Salah satunya untuk anak-anak peneroka seperti menyediakan gelanggang futsal terbuka. Sebahagian 117 sudah siap dan 200 lagi tanah rancangan akan dilengkapi gelanggang yang menelan kos RM100,000 setiap satu ini menjelang akhir tahun," katanya.

Mazlan hakikatnya gagal sejak awal lagi untuk meraih sokongan keluarga Felda apabila tewas di dalam perebutan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum 2008 di tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kemudian dia gagal lagi di Kerdau ketika berganding dengan Tuan Ibrahim untuk memenangkan calon Pas di sana.

Kini, setelah menang AJK Pas Pusat, dia dengan angkuhnya bergerak lagi 'memporakperandakan' Felda yang kemajuannya diiktiraf dunia hasil titik peluh dan keringat peneroka Felda.

Bak kata Perdana Menteri: "Ini soal politik, kalau pembangkang gagal menghasut masyarakat Felda, mereka takut tidak dapat menguasai kerusi DUN dan Parlimen. Jadi, untuk menghakis sokongan terhadap BN, mereka akan lakukan apa sahaja cara dengan menyerang Felda."

Bagi Ahmad, beliau hanya meminta keluarga peneroka merenung satu perkara:

"Apa salah Felda, Felda tidak ambil duit orang kampung...Felda ambil duit sendiri (hasil keuntungan dan kerja kerasnya).

"Tapi sayangnya pembangkang tetap nak kacau, kacau dan kacau keluarga peneroka ini.

"Tapi, saya percaya berkat sokongan keluarga dan generasi baru Felda kepada BN, sokongan mereka tetap dikira 'A', lebih-lebih lagi dengan banyaknya lagi kemajuan yang ditempa Felda akhir-akhir ini."

Monday, June 20, 2011

Felda tampung RM16,700 kos tanam semula peneroka

KUALA LUMPUR 20 Jun — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menampung sejumlah RM16,700 bagi kos setiap peneroka yang menanam semula kelapa sawit, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Felda akan menampung perbezaan jumlah caruman penuh bagi setiap peneroka rancangan sawit dengan kos bagi tanam semula sawit.

"Jumlah caruman penuh bagi setiap peneroka rancangan sawit dalam tempoh 20 tahun ialah RM9,600, manakala kos tanam semula sawit ialah RM2,630 seekar atau RM26,300 bagi 10 ekar,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Mohd Hayati Othman (Pas-Pendang) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata, bagi rancangan-rancangan yang telah selesai penanaman semula kali pertama, Felda telah mewujudkan tabung untuk caruman peneroka bagi program tanam semula kali kedua.

Program tanam semula kali kedua itu akan dibiayai melalui caruman yang dikutip dan kutipan untuk caruman itu adalah sebanyak RM12 seekar sebulan kepada peneroka, katanya.

Beliau berkata, bagi peneroka tanaman asal iaitu getah, mereka tidak mencarum dalam caruman tanam semula kerana kos bagi kerja-kerja penanaman semula ini akan dibiayai oleh Wang Bantuan Risda yang kemudiannya dibayar kepada peneroka melalui Felda. — Bernama

Wednesday, June 8, 2011

UMNO tidak tutup pintu rundingan



Ahmad Maslan dengan Majlis Peguam Malaysia dan Majlis Perundingan Melayu di PWTC semalam.

KUALA LUMPUR 7 Jun - UMNO tidak pernah menutup pintu rundingan dengan Pas biarpun kepimpinan parti itu kini dikuasai oleh golongan profesional atau kumpulan Anwarinas.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan agenda perpaduan Melayu dapat dilaksanakan demi kelangsungan kemajuan dan kestabilan negara.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa positif terhadap perkara tersebut dan melihat adanya ruang dan 'cahaya' untuk kedua-dua parti itu duduk bersama membincangkan beberapa isu tertentu meliputi kepentingan bangsa dan agama.

"Beberapa kenyataan daripada Presiden Pas mengenai perundingan tertentu melibatkan isu Palestin dan isu pendidikan misalnya, walaupun hanya disebut sepatah dua, tetap memberi harapan.

"Jika kita boleh bekerjasama dalam perkara-perkara begini maka ada ruang dan cahaya untuk kita berunding.

"Saya mahu meluaskan ruang-ruang cahaya ini supaya perpaduan Melayu menjadi kemuncak kepada usaha itu," katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Ahmad juga menolak tanggapan bahawa kerjasama UMNO dan Pas tidak mungkin terjalin berikutan sejarah silam memandangkan kepimpinan yang ada hari ini merupakan satu kumpulan baru yang hadir dengan harapan baru.