Thursday, July 28, 2011

120 rumah miskin dibaik pulih sebelum raya

PONTIAN 27 Julai - Sebanyak 120 buah rumah di Parlimen Pontian akan dibaik pulih melalui Program Baik Pulih Rumah Rakyat Parlimen Pontian 2011 membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM500,000.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, program baik pulih rumah tersebut dibiayai oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kesemua rumah terlibat adalah milik golongan miskin tegas dan miskin yang akan dibaikpulih dengan kos sebanyak RM4,000 bagi setiap rumah.

''Kita tidak melantik mana-mana kontraktor untuk program ini sebaliknya kerja-kerja baik pulih rumah ini akan dijalankan secara gotong-royong bersama penduduk kampung.

''Dijangka kesemua rumah yang terpilih akan siap dibaik pulih selewat-lewatnya sebelum penghujung bulan Ramadan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Program Baik Pulih Rumah Rakyat Parlimen Pontian 2011 dan Program Kelab Media Johor Masuk Kampung di sini, semalam.

Turut hadir adalah Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak.

Menurut Ahmad, program seumpama itu diharap dapat membantu masyarakat kurang berkemampuan untuk memiliki rumah yang lebih selesa selain bermatlamat untuk membasmi golongan miskin tegar di parlimen tersebut.

Sementara itu, Muji berkata, berdasarkan program pembasmian kemiskinan, e-Kasih, daerah Pontian mencatatkan seramai lima keluarga miskin tegar, 421 keluarga miskin dan 587 keluarga mudah miskin.

Katanya, daripada jumlah tersebut Parlimen Pontian pula mempunyai tiga keluarga miskin tegar, 236 keluarga miskin dan 345 keluarga mudah miskin.

No comments:

Post a Comment