Tuesday, July 26, 2011

4 lagi gelanggang futsal akan dibina di Pontian


PONTIAN 18 Julai - Sebanyak empat lagi gelanggang futsal akan dibina di kawasan Parlimen Pontian melibatkan kos keseluruhan hampir RM1 juta tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, gelanggang tersebut bagi memberi kemudahan kepada golongan belia untuk bersukan dan beriadah terutama di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, pihaknya akan mengenal pasti segera lokasi atau tempat yang sesuai bagi tujuan pembinaan gelanggang futsal tersebut.

''Menyedari minat terhadap permainan tersebut, kerajaan bercadang menambah jumlah gelanggang termasuk bagi Parlimen Pontian.

''Walaupun ia akan dibina Kementerian Belia dan Sukan (KBS) namun, penjagaannya diserahkan kepada pihak tertentu bagi memastikan kemudahan sentiasa terjaga termasuk bayaran bekalan elektrik dan air," katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan Futsal 1Belia 1Malaysia di sini malam tadi.

Program anjuran Gerakan Belia 4B Parlimen Pontian di Kampung Permatang Sepam, Benut itu turut dihadiri Pengerusinya, Sumali Reduan; Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pontian, Muzaizi Muhammad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Nasrihat Turiman.

Sebanyak 72 pasukan termasuk enam pasukan wanita mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Kategori lelaki dijuarai Tok Bulat FC, diikuti Sepam Prasarana B dan ketiga, Galatica FC manakala kategori wanita dimenangi oleh De Zealous, tempat kedua, Lunati dan ketiga, Sepam Hunted.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, penyertaan menggalakkan yang diterima menunjukkan permainan tersebut mendapat sambutan.

Sehubungan itu, beliau berharap penambahan gelanggang futsal kelak mampu meningkatkan lagi minat bersukan di kalangan belia sekali gus melahirkan generasi yang sihat dan cergas.

No comments:

Post a Comment