Sunday, July 31, 2011

Anak edar borang tipu peneroka - Ahmad Maslan


HULU SELANGOR 30 Julai - Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman disifatkan sebagai penipu kerana giat mengedarkan borang kononnya untuk membolehkan pihak tertentu memperolehi tanah milik Felda Plantation apabila pembangkang berkuasa kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, penipuan itu jelas tidak berasas kerana Felda Plantation hakikatnya tidak mempunyai tanah walau seekar sekali pun.

Jelasnya, tanah yang dimaksudkan adalah milik Felda secara keseluruhan dan Felda Plantation hanyalah syarikat yang dilantik bagi menguruskan ladang di atas tanah tersebut.

"Perkara pertama yang mereka sebut iaitu tanah itu milik Felda Plantation sudah tidak betul. Memang mereka ini penipu besar kerana syarikat itu tiada tanah walau seekar.

"Kalau Felda Plantation dibubar sekali pun, tanah itu tetap milik Felda. Jika diberi kepada 1.6 juta anak peneroka Felda yang ada sekarang, mereka cuma akan terima kira-kira seekar (0.4 hektar) seorang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Negeri Selangor di Felda Sungai Tengi di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail; Presiden Persatuan Peneroka Felda Malaysia (PPFM), Saad Latib serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.

Tidak sekadar mengedarkan borang kepada anak-anak peneroka, Anak turut menyerahkan borang tersebut kepada kakitangan dan pegawai Felda berpendapatan rendah serta bekas tentera.

Lebih menyulitkan katanya, 100,000 hektar daripada 340,000 hektar tanah dimaksudkan itu berada di Sabah.

"Adakah logik untuk orang Semenanjung diberikan tanah di Sabah? Tambahan pula ia tidak termaktub dalam Akta Tanah Berkelompok (GSA 1960) yang membolehkannya dijual atau digadai.

"Jadi saya percaya, kalau anda dapat tanah seekar hari ini, mungkin esok dah jual. Lebih-lebih lagi tanah-tanah ladang itu berada di ceruk-ceruk pedalaman," ujarnya.

Disebabkan semua faktor itu katanya, kerajaan tidak bercadang untuk mengagih-agihkan tanah tersebut kepada peneroka kerana faedahnya terlalu sedikit untuk dinikmati.

"Adalah lebih baik hasilnya dikumpul oleh kerajaan dan diserahkan kembali kepada peneroka seperti yang dilakukan sekarang. Hasil Felda Plantation kini mencecah sehingga RM1 bilion setahun.

"Bajet Felda tahun ini sahaja RM1.6 bilion. Duit bajet ini bukan datang dari Kerajaan Persekutuan, sebaliknya perlu dicari sendiri kerana kita telah diberikan tanah. Sebab itu kita kena beringat," katanya.

1 comment:

  1. bagi tanah dekat setiap sorang pastu confirm la peneroka tu akan jual, nk dpt duit cara cepat, lepas tu gadai tanah tu...Bagus Betul Buku Jingga ni...Dasar Orang Singkat Akal!!

    ReplyDelete