Thursday, July 28, 2011

Felda terima RM15.77 juta


KUALA LUMPUR 27 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM15.77 juta untuk penganjuran pelbagai program keagamaan di tanah rancangan Felda di seluruh negara sempena Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah itu merangkumi peruntukan sebanyak RM10,000 kepada 260 buah masjid di seluruh tanah rancangan Felda.

Menurutnya, sumbangan tersebut adalah untuk program-program Ramadan di masjid seperti tadarus, majlis khatam al-Quran, dan sebagainya.

‘‘Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding tahun lepas iaitu hanya RM3,000 diberikan kepada setiap masjid,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pra Ramadan Felda di sini hari ini.

Menurut Ahmad, peruntukan sebanyak RM540,000 pula diberikan kepada 54 kawasan Parlimen Felda yang melibatkan wakil rakyat kerajaan bagi program-program Ramadan yang dikendalikan bersama Unit Seranta Felda dan Jabatan Perdana Menteri

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM330,000 akan diberikan bagi menampung program kerohanian dan kemasyarakatan seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis meraikan bakal-bakal haji warga Felda.

“Selebihnya, iaitu RM12.3 juta akan diberikan kepada 246 buah sekolah agama, yang mana masing-masing akan terima RM50,000.

“Ia bertujuan menambah baik infrastruktur sekolah seperti bangunan, bilik darjah, bilik air, peralatan sekolah dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM12.3 juta itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 14 Ogos ini di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor.

“Ini merupakan pemberian terbesar pada tahun ini dan ia juga diberikan bersempena dengan bulan Ramadan.

“Diharapkan dengan peruntukan ini, warga Felda dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa lebih-lebih lagi dengan kehadiran Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

No comments:

Post a Comment