Thursday, August 18, 2011

Berperang secara ‘gentleman’

BEBERAPA keputusan klasik dalam siri Pilihan Raya Umum (PRU) lepas jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) sebenarnya boleh merampas kembali Kelantan, mempertahankan Kedah serta memanipulasi undi pos.

Bukan itu sahaja. Selagi ada bulan dan bintang, selagi itulah semua negeri di Malaysia, baik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan terus ditadbir selama-lamanya oleh BN.

Tetapi ada syaratnya. Ia cuma akan berlaku sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah telunjuk BN. Namun itu semua itu tidak akan berlaku. SPR telah membuktikan bukan menerusi ‘mainan’ suruhanjaya itu secara peribadi tetapi melalui proses demokrasi negara.

Di Kedah, semasa BN kehilangan negeri itu pada 2008, jumlah majoriti undi di lima DUN yang gagal diraih BN jika dicampurkan kelima-limanya, ia baru mencecah 1,400 undi. Jadi, masakan BN hanya sekadar mahu melihat Kedah terlepas daripada genggaman kalau tidak dengan ‘cara menawarkan kepada SPR imbalan’ supaya menambah kertas-kertas undi untuk menimbus 1,400 undi berkenaan. Tapi ia tidak berlaku dan tidak pernah terjadi.

Di Kelantan pada PRU 2004. BN hanya kalah dua kerusi kepada Pas yang membentuk semula kerajaan negeri. Dua kerusi yang dimenangi Pas itu termasuk satu kerusi yang diraih dengan majoriti dua undi sahaja di DUN Kemuning, Machang.

Mengapa BN kalau benar telah menguasai SPR, tidak pula bertindak mengarahkan supaya ditambah sahaja tiga kertas undi pro-BN di kerusi terbabit. Ini sekali gus meninggalkan cuma satu lagi kerusi majoriti Pas. Dan kebetulan pada 2005, satu pilihan raya kecil diadakan di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan BN memenanginya.

Bayangkan, jika DUN Kemuning diperoleh BN dengan cara ‘jahat’ tadi dan Pengkalan Pasir sudahpun dimenangi BN, pastinya Kelantan ditadbir parti pemerintah Pusat. Tapi jawapannya tetap sama, SPR tetap berkecuali dan kuasa rakyat masih menjadi penentu sistem demokrasi negara.

Itu antara dua contoh yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ketika merujuk kepada keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

“Kesediaan Perdana Menteri melambangkan keterbukaan beliau yang tidak takut dengan segala tuduhan pembangkang yang tidak berasas terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

“Kita BN ingin mencapai kemenangan yang sesuci-sucinya dan mulia, bukannya ‘kemenangan’ yang berdasarkan tuduhan pihak pembangkang,” kata beliau pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Jawatankuasa Terpilih Parlimen itu yang dianggotai wakil rakyat BN dan pembangkang adalah bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih. Dalam aspek ini, jawatankuasa akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambaikan yang perlu dilaksanakan oleh SPR sebelum dilaksana pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, Ahmad turut menarik perhatian mengenai tuduhan pakatan pembangkang bahawa kononnya BN sentiasa menang undi pos dalam setiap pilihan raya.

“Tapi ternyata ia hanya tuduhan jahat semata-mata. Kita ambil contoh kemenangan calon Parti Keadilan, Dr. Chandra Muzaffar pada PRU 1999 di Bandar Tun Razak.. chandra pun kalah bandar tun razak walau undi pos dia menang.

“Kemudian, Ruslan Kasim yang bertanding atas tiket parti yang sama menang undi pos pada pilihan raya kecil Teluk Kemang pada awal tahun 2000 meskipun tewas di tangan calon BN, S.Sothinathan,” kata beliau.

Semua itu menggambarkan apa? Ya, jelas SPR tidak berpihak. Malah, dalam petisyen SPR, tidak pernah tuduhan wujudnya pengundi hantu berjaya dibuktikan.

“Ini bererti isu pengundi hantu hanyalah persepsi pembangkang. Pengundi hantu yang dimaksudkan oleh pembangkang adalah orang dari luar atau perantau yang hanya atau sekali-sekala pulang ke kampung mereka untuk mengundi.

“Barangkali orang tua-tua di kampung tidak mengenali anak si polan dan si polan itu yang telah dewasa untuk pulang mengundi. Kalau satu keluarga ada 10 anak, masakan kita boleh cam kesemua anak keluarga di kampung berkenaan,” kata Ahmad.

Bagi Ahmad, pembangkang kini giat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap tiga perkara iaitu isu, individu dan institusi. “Misalnya institusi polis dinegatifkan dalam isu perhimpunan haram ‘Bersih’, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes Teoh Beng Hock dan sekali lagi SPR dalam isu ‘Bersih’. Itulah sebabnya, bila SPR mahu guna sistem biometrik, dia kata guna dakwat kekal tapi katakan jika SPR saran guna dakwat, dia kata pula biometrik lebih bagus,” kata beliau sambil merujuk sebuah negara tetangga yang amat korup sistem pilihan rayanya apabila jumlah kertas undi melebihi jumlah populasi. Sebenarnya, kalau betullah SPR dikuasai BN dari pengerusi, timbalannya sehinggalah para pegawai kanan dan pengarah-pengarah SPR negeri, nescaya setidak-tidaknya 14 daripada 16 pilihan raya kecil sudah disapu bersih oleh BN. Ini tidak, BN hanya menang lapan kerusi manakala pembangkang tujuh dan menang percuma – satu di Penanti, Pulau Pinang. Demikian juga dalam keputusan pilihan raya negeri Sarawak April lalu, BN pastinya tidak akan membenarkan pembangkang menambah kerusi jika SPR sememangnya berjaya dikuasainya. “Itu sebabnya BN perlu berhajat untuk menang secara bermaruah dengan menggunakan sistem pilihan raya terbaik. “Justeru, kita amat mengharapkan badan reformasi pilihan raya ini dapat menghentikan pertikaian yang cuba dicetuskan oleh pembangkang. “Berperanglah secara ‘gentleman’, kita nak mereka merasai kekalahan mereka nanti adalah benar-benar tulen,” kata Ahmad.

No comments:

Post a Comment