Wednesday, August 10, 2011

Biro Publisiti dan Penerangan BN diwujud hadapi pilihan raya

Ahmad Maslan (dua, kiri) bercakap sesuatu semasa beliau mempengerusikan mesyuarat dan perjumpaan khas Jawatankuasa Penerangan UMNO dan Jawatankuasa Publisiti Barisan Nasional di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Buat pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional (BN), gagasan itu hari ini secara rasminya mewujudkan Biro Publisiti dan Penerangan BN untuk menerangkan kepada rakyat mengenai segala isu terutama dakyah yang disebarkan pembangkang.

Ketua biro berkenaan, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia merupakan salah satu persediaan BN untuk mewujudkan pendirian selari di kalangan parti komponen di dalamnya berbanding amalan sebelum ini iaitu setiap parti komponen mempunyai pandangan berbeza mengenai sesuatu isu.

"Tujuannya ialah menjawab isu, memberi maklumat, menyatakan dasar serta memberikan ruang untuk ketua masyarakat di negeri-negeri seluruh Malaysia mendengar maklumat baru daripada orang yang akan berceramah.

"Jadi bersedialah parti pembangkang yang akan dihancurkan oleh kami," katanya pada sidang akhbar mengumumkan penubuhan biro itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada 10 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN mengumumkan pelantikan Ahmad bagi mengetuai biro itu.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO menambah, sehubungan itu, biro tersebut akan melaksanakan majlis penerangan perdana kepada semua pemimpin parti komponen BN peringkat negeri di seluruh negara bermula 10 September ini di Kedah dan terakhir pada 30 Oktober nanti di Sarawak.

Biro tersebut juga katanya, akan mengadakan kursus berkaitan seperti kursus jentera penceramah komponen BN dan kursus jentera siber komponen BN dalam waktu terdekat untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Di peringkat negeri, biro tersebut akan diketuai oleh Pengerusi BN negeri tersebut sementara jawatan timbalan pengerusinya pula bakal disandang oleh pemimpin parti komponen terbesar di negeri itu.

No comments:

Post a Comment