Wednesday, August 24, 2011

Disiplinkan penulis blog


JOHOR BAHRU 23 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta ‘mendisiplinkan’ penulis blog yang ghairah menyebarkan pelbagai bentuk fitnah terhadap kerajaan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, SKMM perlu bertindak segera kerana fitnah dan tohmahan liar kini berleluasa di alam maya dan mengundang pelbagai masalah jika dibiarkan berlanjutan.
“Jika pihak bertanggungjawab itu membiarkan fitnah dan tohmahan berleluasa di alam maya tanpa sebarang tindakan, ia akan memberi gambaran kepada rakyat bahawa apa yang didakwa itu adalah benar.
“Pihak yang difitnah juga diseru mengambil tindakan dengan memfailkan saman terhadap mereka yang melakukan tohmahan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dataran Bandaraya, di sini, hari ini.
Kempen anjuran Jabatan Penerangan negeri itu turut disertai ahli Pertubuhan Pemandu Kereta Sewa dan Teksi/Limosin Malaysia (Petekma).
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Hamdan Hasnan dan Pengerusi Petekma, Yusuf Lahir.
Sementara itu, Ahmad memberi sokongan terhadap tuntutan Petekma agar kerajaan membatalkan pelaksanaan sistem kupon teksi kerana ia belum diwartakan.
Menurut Ahmad, memorandum bantahan terhadap sistem kupon tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar ia dapat diselesaikan segera.
“Saya juga akan mengemukakan surat sokongan yang salinannya diberikan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.
“Tindakan saya menyokong Petekma adalah selaras dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment