Thursday, August 11, 2011

Jadikan Rusuhan di London Sebagai Iktibar


KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar tentang rusuhan yang berlaku di London. Beliau berkata rakyat Malaysia haruslah mengambil iktibar tentang apa yang berlaku di kota London dan mengelakkan politik demonstrasi jalanan kerana negara telah menyediakan pelbagai saluran bagi rakyat menyatakan rasa ketidakpuashatiaan mereka.

"Ada negara-negara di luar sana, mereka hanya boleh berkempen ketika parlimen dibubarkan tetapi di Malaysia ini kita dibenarkan berkempen hampir tiap-tiap hari, bukan sahaja melalui media maya dan media cetak dan oleh itu jika mereka masih mengatakan Malaysia ini tidak mempunyai kebebasan bersuara maka itu adalah sebenarnya tidak betul," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa anjuran Pergerakan Umno bahagian Pandan di sini malam ini.

Banyak kesan daripada demonstrasi jalanan ini bukan sahaja pelabur takut untuk melabur malah persepsi masyarakat luar terhadap sesebuah negara itu akan jatuh hingga menyebabkan pelancong bimbang untuk ke negara tersebut, katanya. "Sebagai contoh terdekat anak saya yang ingin menyambung pelajaran ke London pada bulan hadapan terpaksa ditangguhkan sehingga suasana menjadi tenteram semula dan saya mengambil contoh ini kerana perkara ini baru berlaku kepada diri saya dan belum lagi berlaku kepada masyarakat di seluruh dunia," katanya.

"Ini peringatan kepada kita. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Kita ada peluang untuk betulkan keadaan ini," kata beliau. Terdahulu beliau menyampaikan kira-kira 2,000 bubur lambuk kepada anggota Polis di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya dan penyerahan bantuan berbentuk barangan keperluan kepada keluarga berpendapatan rendah di Pandan Utama, Kampung Pandan.

No comments:

Post a Comment