Thursday, August 4, 2011

Kelab Media Johor ‘masuk kampung’

SEBAHAGIAN daripada ahli Kelab Media Johor yang menyertai program kemasyarakatan di Kampung Parit Sulaiman, Kayu Ara Pasong, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 3 Ogos – Kelab Media Johor melalui program ‘Kelab Media Johor Masuk Kampung’ terus melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan mengadakan program kemasyarakatan di Kampung Parit Sulaiman, Kayu Ara Pasong di sini, baru-baru ini.

Kesemua 33 ahli kelab bertolak dari Johor Bahru pukul 8.30 pagi dengan menaiki bas ekspres Syarikat Pengangkutan Maju Bhd. (MAJU) dan ketibaan disambut mesra olah penduduk kampung sebelum dijamu dengan sarapan dan juga buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan dan manggis.

Selesai sarapan, kesemua peserta tanpa membuang masa terus membantu kerja-kerja memasak dan membaiki rumah milik pasangan Md. Surip Siraj, 61, dan Rosni Kosnan, 50.

Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program tersebut bertujuan merapatkan lagi hubungan antara masyarakat dengan pengamal media di negeri ini.

Bagi aktiviti kali ini yang mendapat kerjasama penuh daripada jentera Parlimen Pontian adalah membaiki rumah pasangan berkenaan.

Katanya, kerja-kerja membaik pulih diadakan secara gotong-royong yang melibatkan pelbagai pihak, termasuklah ahli kelab dan penduduk kampung.

Pada masa yang sama, pasangan yang mempunyai enam anak itu turut mendapat bantuan berupa kelengkapan rumah seperti set dapur, meja makan, tilam, bantal, rak pinggan dan kipas.

‘‘Alhamdulillah, perancangan program yang telah diatur sejak beberapa minggu lalu itu berjalan lancar dengan bantuan semua pihak.

“Selain itu, objektif utama program ini untuk merapatkan lagi hubungan di antara pihak media dan masyarakat tercapai,” katanya.

Menurut Mohd. Fauzi, program tersebut juga diharap dapat menjadi medan bagi masyarakat untuk mengenengahkan permasalahan mereka agar ia dapat disampaikan dan diselesaikan oleh pemimpin setempat.

Kata beliau, pihaknya bercadang untuk memperluaskan lagi program seumpama itu di seluruh kawasan di negeri ini berdasarkan sambutan yang diterima pada program kali ini.

‘‘Saya mewakili Kelab Media Johor mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak termasuklah jentera Parlimen Pontian, Jabatan Pelancongan negeri dan syarikat bas MAJU yang turut menjayakan program ini,” katanya.

Majlis perasmian program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan merangkap Ahli Parlimen Pontian.

Ahmad dalam ucapannya turut memuji langkah proaktif yang diambil oleh kelab itu, terutama dalam memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

‘‘Media sememangnya turut membantu dalam pembangunan sosial masyarakat dan ia terbukti pada penganjuran program kali ini yang banyak memberi manfaat kepada orang ramai.

‘‘Saya berharap agar Kelab Media Johor agar terus memainkan peranannya dalam membantu kerajaan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.

No comments:

Post a Comment