Sunday, August 7, 2011

Kurikulum Bahasa Inggeris dinilai semula: TPM

MUHYIDDIN menyampaikan hadiah kepada tokoh pelajar, Mohd Nazri Md Najib sambil diperhatikan Ahmad (tiga dari kiri) di SMK FELDA Maokil, semalam

PAGOH: Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.
“Ketua Pengarah Pelajaran sudah diarah melihat semula kurikulum Bahasa Inggeris di sekolah kenapa sampai hari ini anak-anak yang masuk universiti pun masih rendah dan amat sederhana sekali tahap penguasaan Bahasa Inggeris.
“Kita nak lihat anak luar bandar menguasai dua bahasa, selain Bahasa Melayu tapi Bahasa Inggeris tidak boleh diabaikan supaya setiap anak kita yang masuk sekolah dapat kuasai dua bahasa,” katanya ketika berucap dalam lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Maokil di sini, petang semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr Sharuddin Salleh serta Pengetua SMK FELDA Maokil, Noor Hashimah Hassan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, semakan juga perlu dibuat mengenai penugasan guru opsyen Bahasa Inggeris yang kemungkinan mengajar subjek lain di sekolah masing-masing.

“Kalau kita belajar Bahasa Arab pun cuma perlu ambil tempoh setahun dua saja untuk menguasainya... kenapa belajar Bahasa Inggeris selama 13 tahun tapi tak mampu kuasai?,” katanya.

No comments:

Post a Comment