Monday, August 22, 2011

Masjid, surau perlu ada akaun bank

Ahmad Maslan (empat dari kiri) menyaksikan penyerahan kunci oleh Mohd. Fauzi Bachok (kiri) kepada Sariman Mardi di Pontian, baru-baru ini

PONTIAN 20 Ogos – Masjid dan surau yang belum mempunyai akaun bank diminta berbuat demikian supaya pengurusan kewangan kedua-dua institusi itu dapat ditadbir dengan baik sekali gus mengelak daripada berlakunya usur penyelewengan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, walaupun individu yang memegang amanah kewangan boleh dipercayai, namun penyimpanan di bank lebih selamat dan teratur.
“Bagi masjid dan surau yang tidak mempunyai sumber kewangan tetap perlu mempunyai akaun di bank dan tidak menyimpan sumbangan yang diterima daripada orang ramai di rumah.
“Ia juga memudahkan pengagihan bantuan kepada kedua-dua institusi tersebut,” katanya pada majlis penyerahan kunci Masjid Jamek Parit Wak Jabir oleh Pejabat Agama Daerah Pontian kepada ahli jawatankuasanya di Benut, kelmarin.
Hadir sama Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian, Zaid Abdul Rahman; Penghulu Mukim Benut, Abdul Jabal Kiman dan Ketua Kampung Kawasan (9) Mukim Benut, Pungot Selamat.
Penyerahan dilakukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Mohd. Fauzi Bachok kepada Pengerusi Masjid Jamek Parit Wak Jabir, Sariman Mardi.
Masjid berharga RM1.2 juta itu mula dibina setahun lalu menerusi peruntukan Jabatan Perdana Menteri.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyampaikan sumbangan RM170,000 untuk 55 buah masjid dan 115 buah surau di kawasan Parlimen itu.
Pada majlis sama, RM30,000 turut diagihkan kepada 5,748 pelajar tingkatan lima dalam bentuk akaun di Lembaga Tabung Haji bagi mendidik amalan menabung.

No comments:

Post a Comment