Thursday, August 4, 2011

Md. Surip, Rosni terharu rumah dibaik pulih

AHMAD Maslan (atas tangga) membantu penduduk memasang zink rumah Md. Surip Siraj di Kampung Parit Sulaiman, Kayu Ara Pasong, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 3 Ogos - Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini cukup bermakna bagi pasangan Md. Surip Siraj dan Rosni Kosnan kerana rumah mereka yang selama ini usang atau hampir roboh telah berwajah baru.

Md. Surip, 61, berkata, hanya ucapan bersyukur kepada Allah SWT, kerana sebelum ini terpaksa berteduh di sebuah rumah bersama isteri, Rosni, 50, dan enam anak di rumah usang yang serba kekurangan.

Dia yang tinggal di Kampung Parit Sulaiman, Kayu Ara Pasong, dekat sini dan bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dengan usaha murni yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Kelab Media Johor ia telah merubah kehidupan mereka sekeluarga dalam erti kata sebenar.

''Kira-kira 20 tahun kami tinggal di rumah yang dibina di atas tanah mertua dengan mendapatkan bekalan elektrik dan air juga dari mertua, ditambah dengan keadaan rumah kami hanya berlantaikan tanah dan dilapik tikar getah.

''Tetapi hari ini kami boleh tinggal dan berteduh dengan lebih selesa setelah rumah kami dibaiki secara gotong-royong oleh para penduduk kampung dan dilengkapi bekalan elektrik dan air serta mendapat sumbangan perabot dan keperluan harian," katanya.

Dia secara jujur menyatakan, pendapatan sebagai pengawal keselamatan kira-kira RM750 sebulan ternyata tidak mencukupi untuk menyara keperluan lima daripada enam anaknya walaupun dibantu oleh isteri yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah tadika di kampung tersebut.

Menurutnya, berikutan kesempitan hidup yang dialami, dia pernah lima kali memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun hingga kini tidak ada sebarang maklum balas yang diterima.

''Rupa-rupanya dalam kepayahan yang dihadapi selama ini, ada anugerah yang Allah nak berikan di mana sekarang kami mendapat sebuah 'mahligai', yang cukup menggembirakan kami sekeluarga.

''Bagi kami inilah satu-satunya kerajaan yang benar-benar menjiwai permasalahan rakyat dan menyelesaikannya," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Joyah Hamim, 42, turut memuji program yang dianjurkan oleh kelab itu dalam usaha mendekatkan lagi hubungan antara media dan masyarakat selepas sekian lama membaca akhbar dan menonton berita.

''Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment