Wednesday, August 10, 2011

Pembangkang terus cipta pelbagai kemusykilan sistem pilihan raya


SELEPAS gagal mengheret rakyat supaya mempercayai kononnya sistem pilihan raya yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak adil, kotor dan perlu mengalami transformasi, kini pembangkang cuba pula dengan strategi baru dengan menyerang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), agensi bertanggungjawab mendaftar, menyelenggara, menyimpan dan mengeluarkan rekod pengenalan diri sahih bagi semua penduduk negara.

Puncanya ialah cadangan SPR untuk menggunakan sistem biometrik pada pilihan raya akan datang – yang sekarang diguna pakai oleh beberapa agensi Kementerian Dalam Negeri, termasuk JPN dan Jabatan Imigresen bagi mengesan kemasukan pendatang asing.
Tidak sukar untuk mengetahui apa alasan digunakan pembangkang apabila menyerang sistem biometrik itu dengan menganggap ia mempunyai banyak kelemahan seperti mudah digodam dan menjadi alat kerajaan untuk memanipulasi keputusan pilihan raya.
Tidak cukup dengan tohmahan itu, pembangkang mempergunakan pula Parlimen untuk mendesak kerajaan mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan isu pemastautin tetap (PR) berubah menjadi warganegara dan didaftarkan sebagai pengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

Desakan itu disuarakan PAS menerusi Naib Presidennya, Salahuddin Ayub yang mahukan sidang tergempar itu perlu bagi membahaskan isu berkaitan secara serius di Dewan Rakyat kerana ia membabitkan keselamatan negara.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan kerajaan tidak perlu mengadakan sidang Parlimen tergempar kerana ia bukan satu isu utama untuk dibincangkan sehingga perlu ada sidang tergempar.

“Kita tidak akan tunduk desakan mereka kerana tiada keperluan mendesak atau perkara dibangkitkan pembangkang itu menjadi keutamaan atau kepentingan umum.
“Ini semua helah kerana mereka tahu peluang untuk menang besar dalam pilihan raya umum akan datang semakin merosot. Mereka tahu (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tidak boleh menjadi pemimpin pembangkang untuk menarik sokongan rakyat,” katanya selepas menghadiri mesyuarat di Putrajaya, Khamis lalu.

Malah Mohamed Nazri turut menyifatkan pembangkang tidak ubah seperti ‘smokescreen’ yang mengaburkan tanggapan rakyat dengan mencipta pelbagai kemusykilan dan keraguan terhadap apa saja sistem yang diguna pakai dalam pilihan raya.

“Mereka macam ‘smokescreen’, mencipta bermacam-macam perkara untuk menggambarkan keburukan sistem kerajaan. Nanti mereka akan mempunyai alasan dengan menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR mengapa mereka tewas dalam pilihan raya.

“Itu semua strategi pembangkang mewujudkan cerita mengenai kepincangan dalam sistem kerajaan dan kemudian didendangkan di setiap ceramah atau laman blog propembangkang,” katanya.

Jika dinilai segala tindak tanduk pembangkang kebelakangan ini, seperti jelas bahawa mereka semakin ketandusan isu untuk meraih sokongan rakyat kerana terpaksa mempolitikkan apa saja isu bagi menimbulkan tanggapan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.

Disebabkan itu, pembangkang terpaksa mewujudkan beberapa ‘siri merosakkan institusi kerajaan’ termasuk menyerang peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selain dasar kerajaan seperti gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Agensi dan jabatan yang sering menjadi sasaran pembangkang ialah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPR, institusi kehakiman dan Perlembagaan.

“Semua usaha pembangkang ini sebenarnya menggambarkan yang mereka sudah bankrap idea,” kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Bagi beliau, pembangkang kini semakin bimbang dengan kebangkitan semula BN dan UMNO yang mendapat sokongan rakyat. Bagi memastikan rakyat terus memandang negatif terhadap kerajaan dan institusinya, mereka meneruskan perang psikologi dengan memberi persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Mereka hendak mengalihkan isu sebenar iaitu pembangkang sudah hilang kekuatannya. Mereka sebenarnya sudah tidak bersatu lagi. PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin berpisah.

“Mereka tahu pemimpin mereka, Anwar sudah tidak layak menjadi Ketua Pembangkang kerana terbabit dalam isu moral dan kes mahkamah. PAS pula tidak sebulu dengan DAP. Namun PAS dan PKR tidak sedar mereka menjadi tunggangan DAP.

“Usaha mereka mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Ketua Pembangkang pula membuktikan pembangkang tidak mempunyai tokoh berwibawa yang boleh memimpin mereka. Usaha itu juga bertujuan memecahbelahkan perpaduan UMNO, tetapi tidak berjaya.

“Rakyat harus faham perkembangan dalaman pembangkang ini. Mereka kelihatan hebat dan kuat tetapi sejauh mana kebenarannya, semua pihak boleh menilainya sekarang,” katanya.

No comments:

Post a Comment