Sunday, August 21, 2011

Program Tamu Sahur 2.0


Program Tamu Sahur meriahkan Jalan Masjid India



KUALA LUMPUR 20 Ogos - Jalan Masjid India yang merupakan salah satu lokasi 'wajib' dikunjungi warga kota untuk membeli persiapan menyambut Aidilfitri, turut menjadi destinasi pilihan Program Tamu Sahur siri kedua awal pagi ini.

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan itu dimulakan dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada setiap peniaga.
Selepas itu, Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO bersahur bersama orang ramai di kawasan itu serta menyampaikan duit raya dan hamper kepada 100 anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan golongan fakir yang tinggal di sekitar ibu kota.
Pengarah Projek Tamu Sahur 2011, Mohamad Nazari Ahmad berkata, program itu diteruskan buat kali kedua berikutan sambutan yang menggalakkan pada program sama di Jalan Raja Alang pada 13 Ogos lalu.
"Program ini bagi merapatkan lagi hubungan pemimpin bersama rakyat selain cuba mengetengahkan konsep berlainan iaitu bersahur bersama pemimpin yang jarang-jarang dilakukan.
"Insya-Allah, melihatkan kejayaan kedua-dua siri program ini kami merancang meneruskannya pada tahun hadapan," katanya ketika ditemui pada program itu.
Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas) dan Persatuan Bekas Anggota Perisikan Malaysia (Baris).



















No comments:

Post a Comment