Monday, August 15, 2011

Transformasi dahului zaman

NAJIB Tun Razak ditemani Ahmad Maslan (kiri) tidak melepaskan peluang mengacau bubur lambuk ketika menghadiri Program Bubur Lambuk di Felda Tunggal, Kota Tinggi Johor, semalam.

KOTA TINGGI 14 Ogos - Kemajuan dan kejayaan yang dicapai Felda dalam membangunkan keluarga miskin membuktikan ia satu program transformasi yang mendahului zaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah pemimpin terdahulu menubuhkan Felda jelas berjaya mengubah kehidupan masyarakat yang sebelum ini dikategorikan sebagai kumpulan berpendapatan rendah menjadi golongan pertengahan.

Katanya, transformasi yang dilakukan sejak dahulu lagi telah melahirkan ramai warga yang berjaya seperti Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Obet Tawil selain membolehkan ramai warga Felda belajar hingga ke peringkat lebih tinggi.

"Mungkin tiada rancangan lain yang dapat memanifestasikan perubahan ini seperti Felda Tunggal yang memenangi Anugerah Khas Kecemerlangan Felda 2011 dengan meraih hadiah RM1 juta. Sehingga hari ini 114,000 warga Felda sudah mendapat manfaat daripada transformasi ini.

"Pendapatan peneroka Felda kini mampu mencecah lingkungan RM4,000 sebulan iaitu sama nilainya jumlah RM8,000 yang dinikmati masyarakat bandar," katanya semasa berucap pada Program Rahmat Ramadan Peringkat Kebangsaan di Masjid Al-Ikhwan Gugusan Felda Adela dekat sini hari ini.

Selain solat Asar berjemaah, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan menyertai penduduk memasak bubur lambuk.

Najib menyifatkan kejayaan Felda di negeri ini adalah 'luar biasa' dan percaya ia hasil budaya saling membantu yang diterapkan oleh warga Felda dan kepimpinannya.

Beliau berjanji untuk memperbaharui Felda secara berterusan dan berharap dapat menjadikan warga tanah rancangan itu lebih kuat.

Menurutnya, untuk mencapai kejayaan itu, ia hanya boleh dicapai dengan wujudnya kestabilan politik dan perpaduan yang kukuh antara semua kaum.

"Kubu kuat kerajaan adalah Felda, jadi kita sama-sama pertahankan Felda dan pada masa yang sama kita membantu kerajaan mempertahankan Putrajaya," katanya.

No comments:

Post a Comment