Thursday, September 8, 2011

194 terima pendahuluan PTPTN

AHMAD Maslan (tengah) bersama pelajar yang menerima wang pendahuluan daripada PTPTN di Dewan SMK Ayer Baloi, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 5 Sept. – Seramai 194 penuntut pelbagai kaum yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) menerima wang pendahuluan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), baru-baru ini.
Wang pendahuluan RM1,500 itu disampaikan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, dekat sini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong dan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Ab. Rahim Lamin.
Seorang penerima, Noor Ruaini Zainor yang mendapat tawaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan kaunseling merakamkan terima kasih kepada PTPTN.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah Tampok, dekat sini berkata, wang berkenaan akan digunakan bagi membeli barangan keperluan bagi meringankan beban ibu bapanya.
“Saya akan menggunakan dengan sebaik-baiknya wang yang diterima daripada PTPTN ini untuk membeli barangan keperluan,” katanya.
Bagi Azimah Abdullah, wang pendahuluan itu amat diperlukan memandangkan ibu bapanya hanya bekerja kampung selain perlu menanggung enam lagi adiknya.
Anak sulung ini memberitahu, peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maritim di Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjadi permulaan baginya untuk mengubah nasib keluarga.

No comments:

Post a Comment