Monday, September 26, 2011

70 rumah berjaya baiki


Penduduk bergotong- royong membaiki sebuah rumah di Kampung Parit Haji Ahmad, Ayer Baloi, Pontian, semalam,


PONTIAN 25 Sept. - Sebanyak 70 buah rumah berjaya dibaiki menerusi Program Baik Pulih Rumah Rakyat Parlimen Pontian yang dilancarkan Julai lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM500,000.
Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd. Fauzi Sunawan berkata, baki sebanyak 50 buah rumah lagi akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, setiap rumah diberikan peruntukan sebanyak RM4,000 untuk menukar atap zink, mengganti dinding dan siling yang dilakukan secara gotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) selaku tenaga penggerak utama.
"Sokongan dan kerjasama semua pihak amat penting memandangkan kami tidak melantik sebarang kontraktor untuk melakukan kerja-kerja baik pulih tersebut," katanya.
Beliau menjelaskan demikian selepas mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian menyertai gotong-royong membaik pulih rumah sebuah keluarga di Kampung Parit Haji Ahmad, Ayer Baloi di sini hari ini.
Mohd. Fauzi memberitahu, menerusi konsep gotong-royong, kerja baik pulih itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos, malah penduduk kampung berpeluang berbakti kepada golongan yang memerlukan.
"Ahli Parlimen kita amat gembira dengan kemajuan program ini dan berharap semua rumah telah dikenal pasti akan dapat dibaiki sebelum penghujung tahun ini," katanya.
Sementara itu, penerima bantuan, Zulkifli Iskandar, 42, seorang pemandu lori bersyukur dengan pemberian bantuan itu kerana bumbung dan siling yang usang sebelum ini digantikan baharu.
"Pendapatan saya kecil tidak mampu membaiknya. Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana prihatin dengan nasib golongan seperti kami," katanya yang tinggal lima beranak di rumah berkenaan.

No comments:

Post a Comment