Monday, September 12, 2011

BN adakan Majlis Penerangan Perdana di setiap negeri

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Barisan Nasional (BN) akan meneruskan siri Majlis Penerangan Perdana ke setiap negeri sehingga 30 Oktober ini bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Pusat, Datuk Ahmad Maslan berkata, majlis yang sudah bermula semalam di Kedah akan menjadi platform kepada parti untuk memberi gambaran sebenar tentang usaha dan inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat.
Katanya, ia sekali gus membolehkan rakyat mendapat fakta serta maklumat tepat dan tidak lagi terpedaya dengan putar-belit pembangkang.
"Menerusi majlis penerangan ini, dasar-dasar kerajaan dapat dijelaskan seperti pemberian pelbagai subsidi bernilai lebih RM20.5 bilion setahun.
"Rakyat juga akan didedahkan dengan segala maklumat dan fakta yang tepat berhubung isu-isu semasa yang ditimbulkan pembangkang seperti isu pengganas komunis atau sistem biometrik yang akan diguna pakai semasa pilihan raya oleh pegawai daripada agensi terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dan menyampaikan bantuan hari raya kepada penduduk Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi di sini hari ini.
Pada majlis itu, wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membuat deklarasi menyokong kerajaan.
Ahmad berkata, penceramah dalam siri penerangan itu melibatkan pemimpin-pemimpin BN, NGO dan pertubuhan beruniform supaya perkara yang ingin dijelaskan sampai kepada akar umbi.
Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyempurnakan majlis penutup siri berkenaan yang akan diadakan di Sabah pada 30 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment