Tuesday, September 20, 2011

Bukan tiru negara lain

SEREMBAN 17 Sept. – Dua akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan sama dengan undang-undang berkaitan dari negara lain termasuk Singapura.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dakwaan segelintir pihak yang mengatakan undang-undang baru itu kononnya ditiru dari Singapura adalah tidak berasas.
Menurutnya, pemansuhan ISA yang digunapakai selama ini bertujuan untuk menyelaraskannya dengan perubahan dan tuntutan semasa.
“Negara-negara maju juga mempunyai akta keselamatan mereka seperti Akta Patriot di Amerika Syarikat (AS) dan Akta Anti Keganasan di United Kingdom (UK). Mereka juga masih terkapai-kapai untuk mengukuhkan undang-undang berkenaan.
“Malah ada juga yang berbahas mengenai akta sedia ada untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan Perdana anjuran Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) negeri di Klana Resort dekat sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Hishammuddin berkata, undang-undang baru itu sedang dirangka oleh pejabat Peguam Negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai bakal digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
Dalam pada itu, Hishammuddin memberi jaminan, walaupun ISA telah dimansuhkan, keselamatan negara akan terus diberikan keutamaan.
“Transformasi politik yang diumumkan oleh Perdana Menteri tidak akan menjejaskan keselamatan rakyat dan negara.
“Perpaduan dan keamanan yang wujud pada hari ini masih terjamin dan akan terus berkekalan di bawah dua akta baru yang akan diumumkan nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, kajian pemansuhan ISA itu telah diumumkan oleh Najib sejak dua tahun lalu dan perkara tersebut bukan mencuri idea pembangkang seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang melalui Buku Jingga.
“Pengumuman ini telah dibuat sejak dua tahun lalu melalui proses kajian yang dilakukan secara bijaksana iaitu awal setahun daripada janji pembangkang dalam Buku Jingganya yang mahu menghapuskan ISA.
“Kita tidak curi idea pembangkang, bila Buku Jingga itu keluar? Perdana Menteri sudah umumkan kajian terhadap ISA secara holistik dua tahun lalu,” ujarnya.
Menurut beliau, pembangkang kini ketandusan idea sebaik sahaja pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri dan cuba mengaitkan kerajaan mencuri idea mereka.

No comments:

Post a Comment