Monday, September 12, 2011

Jelas dasar kerajaan kepada rakyat

KUBANG PASU 10 Sept. - Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memperhebatkan penerangan dasar-dasar kerajaan termasuk pemberian pelbagai subsidi bernilai lebih RM20.5 bilion setahun kepada rakyat bagi menangkis dakyah pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, penjelasan bersama fakta dan maklumat tepat di peringkat akar umbi penting agar rakyat mendapat gambaran sebenar dan tidak terpesong dengan putar-belit pembangkang.
"Contohnya, subsidi kerajaan untuk gula RM283 juta, tepung (RM113 juta), minyak masak (RM1.7 juta) beras (RM486 juta) dan minyak petrol, diesel dan gas (RM18 bilion).
"Dengan jumlah keseluruhan RM20.5 bilion ini sebenarnya macam-macam kerajaan boleh lakukan seperti bina dewan baru di setiap kampung tetapi ia digunakan untuk subsidi rakyat," katanya pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Kedah anjuran Biro Publisiti dan Penerangan BN dan Badan Perhubungan UMNO Kedah di Dewan Wawasan Jitra di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Ahmad berkata, pada masa sama, pemimpin BN perlu mendedahkan segala pembohongan yang dilakukan pembangkang seperti dinyatakan dalam risalah pembohongan kerajaan Pas Kedah.
"Ini dinyatakan dalam buku pencapaian kita, harap semua boleh baca betul-betul, ini semua fakta benar, kalau Pas tidak puas hati dia boleh saman," jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, pemimpin BN perlu menggerakkan jentera pilihan raya dengan lebih mantap untuk menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Kita tidak akan mampu jika ada kelompok-kelompok kecil dalam kalangan kita, sebaliknya kita perlu perkukuhkan perpaduan," katanya.
Beliau berkata, situasi politik ketika ini menunjukkan rakyat menolak Pas kerana gagal mentadbir kerajaan negeri dengan baik.

No comments:

Post a Comment