Tuesday, September 20, 2011

Kewangan Felda makin kukuh - PM


Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran dokuman perjanjian usahasama strategi antara Sabri Ahmad (tengah) dan Anil Snehi di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Mohd. Isa Abdul Samad dan Ramadorai S. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 13 Sept. - Felda terus mencatatkan pertumbuhan kewangan yang kukuh apabila jumlah saham tersenarai dan tidak tersenarai serta dana Amanah Raya Berhad milik agensi itu kini mencecah RM8 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencapaian amat memberangsangkan itu dilaporkan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi Felda hari ini dan ia membuktikan agensi tersebut merupakan sebuah organisasi yang amat berjaya.
Sebagai contoh, katanya, pemilikan saham Felda di dalam syarikat Malayan Sugar Manufacturing Bhd. (MSM) apabila saham yang dibeli RM3.36 sesaham kini telah melonjak kepada RM5.30 sesaham.
''Selain itu aktiviti anak-anak syarikat Felda juga berjaya mencatatkan keuntungan. Ini yang menyebabkan Felda berada pada kedudukan kewangan yang sangat menggalakkan,'' katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Felda di Dewan Perdana Felda, hari ini.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian usahasama strategi antara Kumpulan Felda Prodata diwakili Presidennya, Datuk Sabri Ahmad dan Ketua Serantau Negara Asia Perkhidmatan Perunding Tata, Anil Snehi.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Felda Prodata, Muhammad Fauzi Abdul Ghani; Naib Pengerusi Tata, Ramadorai S serta Ahli majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Abdulla Saloomi.
Perdana Menteri berkata, usaha meningkatkan pendapatan Felda tidak akan berhenti setakat ini sahaja malah pihak kerajaan komited untuk melakukan pembaharuan terhadap agensi itu demi masa depan peneroka.
''Rata-rata peneroka Felda secara puratanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM4,500 sebulan dan ini adalah hasil daripada kemajuan yang dikecapi selain harga komoditi getah dan kelapa sawit yang begitu stabil," katanya.
Dengan pendapatan sedemikian beliau berkata, peneroka Felda kini berada di dalam golongan pertengahan.
''Oleh itu saya amat berharap kepada semua warga Felda terutama para peneroka pertahankanlah segala nikmat yang kita perolehi sekarang dan paling penting pertahankanlah Felda,'' katanya yang turut meminta warga Felda dan rakyat seluruhnya bersama-sama mempertahankan Putrajaya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan akan memperkasakan lagi skim perumahan generasi kedua Felda dengan memberi tumpuan kepada gugusan-gugusan yang masih belum melaksanakan program tersebut.
''Kerajaan komited melaksanakan program ini kerana ia memberi banyak manfaat kepada generasi kedua Felda. Untuk itu kita akan berusaha meningkatkan jumlah bilangan rumah-rumah untuk mereka di bawah skim ini,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment