Tuesday, September 20, 2011

Manoharan dibidas malu kibar Jalur Gemilang

SEREMBAN 17 Sept. - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan hari ini membidas sikap tidak patriotik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mendakwa malu untuk mengibarkan bendera Malaysia dengan alasan terlalu bersifat Barisan Nasional (BN).

Katanya, sikap Manoharan yang juga mahu menukar corak Jalur Gemilang jika beliau berkuasa membuktikan bahawa pemimpin pembangkang sebenarnya tidak patriotik dan tidak bangga dengan negara sendiri.
"Bagi saya ini adalah tindakan yang tidak patriotik. Kita juga ingin tahu apakah pandangan kepemimpinan pembangkang dalam isu ini. Kenyataan seperti ini perlu ditentang habis-habisan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan Perdana anjuran Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Tidak timbul bendera Jalur Gemilang meniru bendera Amerika Syarikat kerana warna yang terdapat pada identiti Malaysia itu sangat berbeza tafsirannya dengan bendera Amerika, katanya mengulas kenyataan Manoharan berhubung perkara itu.
Beliau berpendapat, terdapat banyak lagi bendera negara lain yang mempunyai persamaan dengan sebuah negara yang lain seperti bendera Indonesia dan Singapura.
Manoharan dalam laman Facebooknya seperti yang dilaporkan akhbar hari ini ada menyebut: “Saya mengedarkan banyak bendera DAP hari ini dalam kawasan undian saya. Saya menolak untuk mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan lebih BN daripada Malaysia”. - Bernama

No comments:

Post a Comment