Tuesday, September 13, 2011

Mat Sabu sudah hilang kredibiliti


PUTRAJAYA 12 Sept. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kini sudah hilang kredibiliti apabila menimbulkan isu-isu yang tidak sepatutnya demi meraih populariti.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai contoh, tindakan Mohamad atau Mat Sabu mengangkat perjuangan komunis merupakan satu perbuatan yang amat dikesali.
Menurutnya, ucapan Mat Sabu pada satu majlis di Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini amat mengelirukan dan secara tidak langsung pemimpin kanan Pas itu dilihat cuba mengubah fakta sebenar sejarah negara.
"Dakwaan Mat Sabu perlu dipandang serius kerana dia menolak sama sekali pandangan pakar- pakar sejarah dan keterangan daripada ahli keluarga anggota polis yang terbunuh semasa mempertahankan negara dalam peristiwa Bukit Kepong.
"Tindakan beliau juga sedikit sebanyak akan memesongkan pemikiran rakyat yang terlalu taksub dengan kata-kata pemimpin Pas," katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada mangsa kejadian tanah runtuh dari Rumah Anak-anak Yatim dan Anak- anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan daripada warga Maritim Malaysia seluruh negara melalui 'kempen RM3' yang mula diperkenalkan pada Jun lalu untuk membantu mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, pemimpin pembangkang perlu memastikan setiap kenyataan yang dibuat adalah berlandaskan fakta dan bukannya sekadar mencari publisiti demi meraih undi rakyat semata-mata.
"Jika kita tidak tahu sejarah, lebih elok kita mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang ulasan yang boleh mengakibatkan ia menjadi kontroversi, jangan buat-buat tahu atas apa yang berlaku walhal kita cetek ilmu sejarah," katanya.
"Jika mahu terus mengulas sesuatu perkara, maka rujuklah dengan pakar terlebih dahulu yang umum tahu mereka mempunyai kepakaran khusus dalam bidang sejarah," katanya.

No comments:

Post a Comment