Saturday, September 10, 2011

“Pas Memang Suka Berdebat, Mereka Tiada Kerja Selain Berceramah”

KUALA LUMPUR, 9 Sept – “Pimpinan Pas memang suka berdebat kerana mereka tidak ada kerja lain selain berceramah, itulah kepakaran mereka.
“Kepakaran pimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah berkhidmat untuk rakyat,” kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Justeru tegasnya pimpinan UMNO dan BN akan meneruskan kerja  mendahulukan rakyat terbanyak dan mengenepikan Mat Sabu dan konco-konconya.
“Kami akan terus menjuarai dalam pelbagai program seperti keagamaan, kebajikan, pendidikan, kerohanian, ekonomi, sukan, perpaduan dan hal ehwal antarabangsa”, ujarnya.
Oleh itu beliau  menyarankan agar Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu menyahut kesudian Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk berdebat dengannya mengenai isu Bukit Kepong.
Di samping itu, beliau juga menyarankan agar ruang perdebatan itu juga dihadiri pakar sejarah.
“Debat itu sebaiknya antara mereka berdua (Mat Sabu dan Khairy), kerana ia juga merupakan cabaran kerajaan Pas Kelantan pada peringkat awalnya.
“Atau lebih elok dengan pakar sejarah seperti Prof Datuk Dr Ramlah Adam atau Prof Khoo Kay Kim, bukan berdebat dengan TPM (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya  di sini, hari ini.
Tegas beliau pakar sejarah wajar diberi peluang membuat penjelasan kerana sejarah sememangnya tidak berbohong sementara tafsiran yang dangkal adalah membahayakan.
“Jika ada pakar sejarah yang ingin berdebat dengan Mat Sabu saya akan memberikan sokongan. Kalau tidak debat pun mungkin berdiskusi umum atau berforum terbuka”, ujarnya.-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment