Thursday, September 8, 2011

Penerangan Perdana UMNO Kedah Sabtu ini

ALOR SETAR 6 Sept. - UMNO Kedah akan menganjurkan Program Penerangan Perdana bertujuan melengkapkan jentera penerangan parti dengan pelbagai maklumat mengenai isu semasa sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, program yang berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra pada 10 September ini akan disertai oleh lebih 3,000 anggota UMNO negeri ini.
“Saya berharap mereka yang menyertai program ini dapat menggunakan informasi yang diperolehi pada sesi ceramah dalam menangkis hujah parti pembangkang yang cuba menyelewengkan fakta sebenar mengenai isu semasa.
“Selain itu, peserta program bertanggungjawab memberi penerangan kepada rakyat agar lebih memahami situasi sebenar sesuatu isu yang sengaja dimanipulasi oleh pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada program itu, ucapan aluan akan disampaikan oleh Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diikuti ucaptama oleh Ahmad Bashah.
Ahmad Bashah berkata, program itu akan dihadiri Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan, manakala majlis penutup akan disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Jamuan Aidilfitri anjuran Biro Penerangan UMNO Kedah akan diadakan selepas program berkenaan. 

No comments:

Post a Comment