Sunday, September 4, 2011

Penjawat awam diminta beri khidmat terbaik


PONTIAN 2 Sept. - Para penjawat awam diingatkan supaya sentiasa memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada orang ramai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, selain memikul tanggungjawab sebagai penjawat awam dengan amanah, mereka juga harus mengamalkan prinsip bekerja seperti menepati waktu dan ketelitian dalam melaksanakan tugas.
"Ini termasuklah menambah baik sistem penyampaian awam serta bersedia untuk menerima teguran mahupun pandangan daripada pelanggan yang sentiasa memerhatikan kerja yang mereka lakukan setiap hari.
"Dengan kecanggihan teknologi maklumat masa kini, perkhidmatan awam yang berkualiti tidak mungkin akan tercapai sekiranya tiada komitmen dan kesungguhan daripada semua pihak," katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, seramai 253 guru serta staf sokongan yang berkhidmat di PPD serta sekolah di daerah Pontian menerima sijil penghargaan masing-masing.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon; Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Ab. Rahim Lamin dan timbalannya, Ismail Rosdi.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perkhidmatan awam kini menghadapi pelbagai cabaran dengan meningkatnya kesedaran orang ramai tentang hak mereka terhadap kerajaan dan perkhidmatan yang disediakan.
"Ini sekali gus menjadi cabaran kepada kakitangan perkhidmatan awam untuk mengubah cara bekerja, cara berfikir dan perlu bertindak dengan lebih berkesan supaya keputusan yang diubah tidak dipertikaikan," katanya.
Menurutnya, bagi memenuhi tuntutan itu, kerajaan telah memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi mewujudkan elemen kebertanggungjawaban yang tinggi kepada penjawat awam.

No comments:

Post a Comment