Saturday, September 10, 2011

Rakyat Malaysia Diminta Terus Hulur Sumbangan Untuk Rakyat Somalia

PUTRAJAYA, 9 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan hari ini menyarankan seluruh rakyat Malaysia agar menghulurkan sumbangan kepada rakyat Somalia yang kini menderita akibat kebuluran.
Menurut beliau sumbangan berkenaan amat penting bagi membantu penderitaan rakyat negara berkenaan yang menderita ekoran perang saudara.
“Tidak kiralah sumbangan itu dalam jumlah yang kecil atau besar kerana apa yang penting kita dapat hulurkan sumbangan untuk tabung kemanusiaan.
“Dan sumbangan itu kita salurkan menerusi badan profesional termasuk tabung yang diusahakan oleh kerajaan menerusi Wisma Putra,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya, Putrajaya, di sini, hari ini.
Terdahulu sebelum itu, sebanyak RM70,000 disumbangkan kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Sumbangan berkenan adalah sebahagian daripada hasil sumbangan daripada 40 penderma.
Sebanyak RM50,000 pula disumbangkan kepada Tabung Somalia menerusi Wisma Putra dan RM29,000 untuk tabung Somalia kepada Malaysian Relief Agency daripada Biro Tatanegara Sarawak.
Ahmad Maslan seterusnya mengharapkan sumbangan untuk tabung Somalia dapat digunakan untuk membantu rakyat negara tersebut menerusi misi kemanusiaan.
“Mudah-mudahan segala usaha saya dan kawan-kawan yang lain itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang terlibat,” katanya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment