Monday, September 12, 2011

'Resipi mudah' BN tawan semula Kedah

AHMAD Maslan (tiga dari kanan) menyampaikan cendera hati kepada Mohd. Shafie Apdal sambil diperhatikan Ahmad Bashah Md. Hanipah (kiri) dan Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) pada Majlis Penerangan Perdana di Dewan Wawasan Jitra, Kubang Pasu, semalam.

KUBANG PASU 10 Sept. - Resipi Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula Kedah daripada pembangkang adalah mudah iaitu semua ahli dan pemimpin perlu sepakat menyokong siapa sahaja calon yang ditentukan oleh pucuk pimpinan parti pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setiap ahli khususnya pemimpin sama ada di peringkat bahagian atau parti komponen perlu turun padang membantu jentera pilihan raya walaupun calon pilihan mereka atau diri sendiri tidak dicalonkan.
"Bagi saya itu sahaja yang perlu dilakukan untuk BN menang. Mudah, kerjasama dan keyakinan. Kalau mereka (yang tidak dicalonkan) sanggup turun dan tidak melakukan perbuatan yang memudaratkan calon BN, maka kita akan mendapat semula kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penerangan Perdana Peringkat Kedah anjuran Biro Publisiti dan Penerangan BN dan Badan Perhubungan UMNO Kedah di Dewan Wawasan Jitra di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Kira-kira 4,000 peserta yang terdiri daripada ahli parti-parti komponen BN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri majlis tersebut yang bertujuan memberi penjelasan dan maklumat mengenai isu semasa sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Mohd. Shafie berkata, ahli BN khususnya UMNO perlu memahami calon yang ditentukan oleh pucuk pimpinan adalah calon boleh menang dan perlu disokong oleh semua.
Menurutnya, resipi itu bukan khusus untuk Kedah, tetapi juga di kawasan lain.
"Bila tapisan dibuat untuk menentukan calon boleh menang, maka saya berharap semua pihak harus reda (menerima) sesiapa sahaja calon yang dipilih dan kemenangan BN menjadi keutamaan kepada semua," katanya.
Beliau berkata, kerjasama ahli dan pemimpin dalam komponen BN di Kedah didapati semakin kuat dan ia perlu diterjemahkan dalam pilihan raya nanti.

No comments:

Post a Comment