Tuesday, September 20, 2011

Wajah sebenar pembangkang

SEREMBAN 17 Sept. - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mengeluarkan kenyataan mahu menukar Jalur Gemilang jika pakatan pembangkang berjaya memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang dilihat sebagai dangkal dan bermotifkan politik.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kenyataan itu juga menggambarkan wajah sebenar kepimpinan pembangkang yang tidak patriotik dalam menyemai semangat cintakan negara.
"Bagi saya ini adalah tindakan yang tidak patriotik oleh pemimpin pembangkang. Kita juga ingin tahu apakah pandangan pemimpin lain dalam isu ini. Kenyataan seperti ini perlu ditentang habis-habisan," katanya selepas menghadiri Majlis Penerangan Perdana anjuran Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) negeri di Klana Resort dekat sini hari ini.
Jelas Ahmad, warna-warna yang terdapat dalam bendera Malaysia mempunyai maksud yang tersendiri dan tidak mengikut apa yang didakwa oleh Manoharan iaitu negara tidak memiliki bendera berkelas dunia seperti Amerika Syarikat.
"Cuba kalau kita lihat dari konteks yang lebih luas, memang warnanya itu sahaja. Tetapi kita ada falsafah dan maksud yang tersendiri. Tidak semestinya kita mengikut atau ambil contoh dari luar negara.
"Ini adalah jenis manusia yang tidak patriotik atas saranannya. Ini adalah tidak wajar dan beliau patut meminta maaf dan adakah dia hendak ubah benda-benda lain selepas ini," katanya.

No comments:

Post a Comment