Monday, October 24, 2011

1Malaysia kesinambungan pemimpin terdahulu



Mohd. Shafie Apdal berucap pada majlis Penerangan Perdana Peringkat negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - BERNAMA


MELAKA 23 Okt. - Konsep menyatupadukan rakyat berbilang kaum menerusi gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbukti meneruskan kesinambungan perjuangan yang dipelopori oleh Perdana Menteri terdahulu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, rakyat perlu yakin dengan gagasan tersebut kerana Perdana Menteri mempunyai wawasan serta sangat konsisten dalam melaksanakan dasar-dasar untuk membangunkan negara.
"Dasar-dasar yang dibawa oleh Najib menjurus untuk membantu rakyat berbilang kaum yang meneruskan kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Perdana Menteri mempunyai kebijaksanaan untuk memimpin sebuah negara seperti Malaysia kerana dasar-dasar yang dibawa menjurus kepada kesejahteraan seluruh rakyat berbilang kaum tidak kira India, Cina, Melayu, Kadazan, Iban dan sebagainya," katanya.
Beliau berucap di hadapan kira-kira 5,500 orang pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional, Datuk Ahmad Maslan; pemimpin dan ahli komponen Barisan Nasional (BN) dan pelbagai lapisan masyarakat.
Mohd. Shafie turut menegaskan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini cukup menyeluruh dan konsisten menyentuh kepentingan semua kaum dan peringkat masyarakat.
Beliau menambah, sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini juga telah mewujudkan keamanan dan kestabilan politik sejak merdeka.

No comments:

Post a Comment