Monday, October 24, 2011

23 panel peguam GWGF bantu selesai aduan peneroka

SHAH ALAM 24 Okt. – Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) melantik 23 panel peguam yang terdiri daripada anak-anak peneroka bagi membantu menyelesaikan aduan peneroka di 317 tanah rancangan Felda secara percuma.

Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata, khidmat peguam di bawah program ”Skuad Peguamku” dapat membantu peneroka terutama dalam proses timbang tara berkenaan isu peratusan kadar perahan sawit.
Katanya, GWGF melalui Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) sehingga kini telah menerima 2,297 aduan daripada peneroka Felda, di mana 400 daripada aduan tersebut adalah berkaitan gred buah sawit.
Rozali berkata, jalan tengah kepada isu peratusan kadar perahan sawit itu agar tidak dikemukakan ke mahkamah adalah dengan membawa kes berkenaan kepada Majlis Timbang Tara yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
"Proses timbang tara bermula apabila Felda membuat kajian dan berbincang dengan wakil peneroka yang mengadu dan diwakili Skuad Peguamku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
"Jika persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak, maka kes dianggap selesai dan jika tiada persetujuan perkara ini akan diangkat ke Mahkamah Timbang Tara,” katanya.

No comments:

Post a Comment