Monday, October 17, 2011

92 NGO pontian terima sumbangan


AHMAD Maslan (tengah) gembira bersama para pemimpin NGO yang menerima sumbangan di Dewan Baiduri SMK Benut, Pontian, kelmarin.


PONTIAN 13 Okt. - Sebanyak 92 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini menerima sumbangan RM1,000 di bawah Program Sentuhan Rakyat bagi menggerakkan kegiatan mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, walaupun sebagai pertubuhan sukarela, kerajaan sentiasa menghargai sumbangan serta peranan mereka menerusi aktiviti atau kegiatan yang dilakukan membantu masyarakat.
"Kita amat menghargai mereka yang melakukan tugasan secara sukarela yang telah dapat memberikan sumbangan begitu bermakna walaupun ada antara ahli yang telah berusia emas," katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama NGO di kawasan Parlimen Pontian di Dewan Baiduri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut di sini, semalam.
Antara NGO yang menerima sumbangan tersebut adalah persatuan-persatuan belia, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan bekas polis dan tentera, persatuan ketua kampung, persatuan badan beruniform, persatuan pemandu teksi dan pertubuhan silat.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, memang peranan kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu NGO yang memerlukan sokongan dan kerjasama bagi menjayakan sesuatu program atau aktiviti.
"Mereka bukan mengharapkan simpati, namun menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melihat peranan NGO asalkan tidak bercanggah atau melanggar undang-undang," katanya.
Beliau berharap sumbangan yang diberikan itu dapat digunakan sebaik mungkin untuk menjalankan aktiviti mereka.
"Ada juga NGO yang turut melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa, tetapi pada masa yang sama tidak melupakan golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya," katanya sambil berharap NGO turut memainkan peranan menyampaikan maklumat atau dasar-dasar kerajaan kepada ahli-ahlinya.

No comments:

Post a Comment