Monday, October 3, 2011

Buktikan ikhlas minta maaf

BUKIT MERTAJAM 2 Okt. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didesak membuktikan keikhlasannya meminta maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menghadap baginda, bukannya sekadar melafazkan melalui media massa.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, Setiausaha Agung DAP itu perlu datang sendiri ke Johor bertemu empat mata dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan seluruh rakyat negeri itu.
"Sebagai rakyat Johor, saya cabar Guan Eng datang sendiri menghadap Sultan, bukannya membuat permohonan maaf melalui surat khabar sahaja.
"Beliau kena buktikan keikhlasan ucapan maaf itu dan tunjukkan yang beliau benar-benar insaf menyatakan sedemikian," katanya pada sidang akhbar selepas Program Penerangan Perdana anjuran Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.
Beliau mengulas permohonan maaf Guan Eng kepada Sultan Johor dan rakyatnya yang dibuat kelmarin setelah memburuk-burukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura baru-baru ini.
Tambah Ahmad, Guan Eng juga tidak sepatutnya mendabik dada dengan kejayaan penurunan indeks jenayah di Pulau Pinang kerana ia hasil usaha keras pihak polis serta agensi keselamatan yang lain.
Selain itu, ujarnya, kejayaan pelaburan ke Pulau Pinang juga adalah hasil usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Sementara itu Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Guan Eng sering menggunakan media untuk menyatakan pendiriannya dan mula menyalahkan media sekiranya ia tidak menepati apa yang dihajati.
Namun, ujarnya, apa yang terbukti adalah sikap berpura-pura pemimpin itu yang sering menyalahkan media sekiranya dihentam sedangkan perkara tersebut adalah benar.

No comments:

Post a Comment