Wednesday, October 5, 2011

Kunjungi universiti dalam program lawatan sambil belajar

AHMAD Maslan (tengah) bersama Zaini Ujang ketika merasmikan Program Selangkah Ke Universiti di UTM Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 4 Okt. - Pihak sekolah disaran memasukkan kunjungan ke universiti dalam program lawatan sambil belajar yang dianjurkan sejajar usaha untuk memberi pendedahan kepada pelajar sebelum melangkah ke 'menara gading'.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pemerhatiannya mendapati program seumpama itu lebih tertumpu kepada tempat-tempat pelancongan dan bersejarah di negara ini.
"Saya yakin lawatan ke universiti mampu memberi lebih manfaat dan pendedahan kepada pelajar, terutamanya yang bakal mengakhiri zaman persekolahan, sekali gus mendorong mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya semasa merasmikan Program Selangkah ke U di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang.
Pada majlis itu, kira-kira 100 pelajar tingkatan empat melibatkan enam kawasan Parlimen di negeri ini iaitu Pontian, Batu Pahat, Pasir Gudang, Sembrong, Kluang dan Segamat mengadakan lawatan sambil belajar sehari di UTM dengan diiringi oleh guru masing-masing.
Semasa lawatan tersebut, pelajar dibawa mengunjungi kampus universiti itu serta kawasan sekitar bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai keadaan sebenar dalam kampus UTM dan pada masa sama berharap ia mampu menjadi pendorong untuk lebih tekun belajar.
Sementara itu, Zaini turut mencadangkan supaya lawatan sambil belajar ke universiti pada masa akan datang dapat menginap di kampus, sekurang-kurangnya satu malam bagi membolehkan pelajar terlibat merasai kehidupan sebenar sebagai seorang mahasiswa.
"Saya merasakan lawatan satu hari ini tidak cukup kerana masa terlalu singkat. Kalau dapat bermalam, banyak lagi perkara dan pengalaman dapat diperoleh mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment