Tuesday, October 25, 2011

Mohd. Isa belum dilantik Pengerusi KPF

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad masih belum dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) secara rasmi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pelantikan Mohd. Isa seperti diputuskan Ahli Lembaga Pengarah Felda akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang diperuntukkan Akta Koperasi 1993 dan Undang-Undang Kecil KPF.
"Tan Sri Mohd. Isa masih belum dilantik jadi Pengerusi KPF, sekarang ini Pengerusi KPF ialah Pengarah Besar Felda (Datuk Zulkifli Abdul Wahab) .
"Sebenarnya jika beliau menjadi Pengerusi KPF, dia tidak mempunyai kuasa eksekutif sebagai mana yang ada padanya di Felda sebab kita tidak mahu ada kuasa eksekutif dalam KPF. Apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya, bukan apa yang dibimbangkan," katanya.
Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) sebelum itu mempertikaikan pelantikan Mohd. Isa yang dianggap mempunyai konflik kepentingan sehingga menafikan pihak lain yang mempunyai kelayakan menerajui koperasi berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Jabatan Perdana Menteri di Parlimen hari ini.
Ahmad berkata, pelantikan Mohd. Isa sebagai Pengerusi berkaitan FELDA juga berdasar kepada Tatacara dan Urus Tadbir Syarikat.
"Oleh itu, pelantikan beliau sebagai Pengerusi di dalam beberapa syarikat berkaitan Felda tidak menimbulkan konflik kepentingan.
"Ini kerana, kesemua syarikat berkenaan di bawah Kumpulan Felda dan setiap pertubuhan atau syarikat diurus mengikut akta berkaitan dengan entiti berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment