Monday, October 17, 2011

Projek MRT tak roboh bangunan bersejarah


2011/10/14

Kerajaan jamin binaan di Jalan Sultan terpelihara KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang tamat di Jalan Sultan di ibu negara, tidak akan merobohkan bangunan di laluan itu, walaupun ia tidak diwartakan sebagai bangunan warisan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan juga memberi jaminan bahawa pemilik projek iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd akan memastikan kerja pembinaan terowong tidak akan menjejaskan bangunan di laluan itu.
“Kerajaan memberi jaminan bangunan di Jalan Sultan tidak akan diroboh walaupun ia tidak diwarta sebagai bangunan warisan kerana ia sebahagian sejarah Kuala Lumpur,” katanya di Dewan Rakyat, semalam. Beliau menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) yang ingin mengetahui secara terperinci rancangan pembinaan MRT bawah tanah di sekitar Jalan Sultan. Chan Onn juga ingin mengetahui mengapa kerajaan tidak membuat jaminan bahawa selepas MRT dibina, sama ada penghuni asal boleh mengambil semula pemilikan tanah berkenaan. Ahmad berkata, MRT Corporation Sdn Bhd sedang mengadakan rundingan dengan pemilik tanah persendirian untuk mencari persetujuan di mana pengambilan tanah tidak perlu dilakukan. Katanya, antara perkara yang perlu dipersetujui ialah pemilik keluar dari bangunan ketika pembinaan terowong dan kembali selepas selesai pembinaan. Sehubungan itu, katanya, persoalan memberi semula hak milik tanah kepada pemilik tanah asal tidak sepatutnya timbul. “MRT akan melalui jajaran bawah tanah sejauh 10 kilometer (km) di pusat bandar Kuala Lumpur. itu melalui di bawah Jalan Sultan antara Pasar Raya Kota atau Stesen Bas Klang dan persimpangan Jalan Sultan-Jalan Hang Jebat dengan jarak 400 meter,” katanya. Beliau berkata, bagi projek MRT sejauh 51 km, kerajaan memastikan pengambilan tanah persendirian dapat dikurangkan apabila 70 peratus jajaran melalui tanah kerajaan seperti rizab jalan raya dan tanah milik agensi kerajaan.Sementara itu, menjawab soalan Chow Kon Yew (DAP-Tanjong) mengenai rancangan kerajaan bagi mengatasi masalah bas sekolah yang melebihi 30 tahun, Ahmad berkata kerajaan bersetuju memberi kelulusan pembaharuan lesen selama setahun kepada pemilik bas yang mempunyai had usia bas melebihi 30 tahun. Beliau berkata, kelulusan itu diberi bagi memberi kesempatan kepada pemilik bas untuk mendapatkan kenderaan gantian. 

No comments:

Post a Comment