Tuesday, October 25, 2011

RM170,000 setahun urus 170 masjid, surau

PONTIAN 24 Okt. - Parlimen Pontian memperuntukkan sebanyak RM170,000 setiap tahun bagi membiayai pengurusan 170 masjid dan surau, yang mana setiap institusi agama terbabit mendapat RM1,000 sebulan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu 54 daripadanya adalah masjid dan 116 lagi surau.
"Tujuan kita memberikan peruntukan itu bagi membolehkan institusi tersebut menggunakan wang itu untuk tujuan pengurusan termasuk pembayaran bil elektrik, air, mengadakan gotong-royong dan apa juga aktiviti berkaitan.
"Bagi masjid dan surau kita berikan jumlah yang sama iaitu RM1,000 kerana masjid dapat mengumpul dananya pada setiap minggu melalui kutipan derma pada solat Jumaat, manakala surau mempunyai jumlah kariah yang kecil dan hanya dapat mengumpul dana dua kali setahun iaitu pada Aidilfitri dan Aidiladha, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Masjid dan Surau Cemerlang Parlimen Pontian yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Zainal Abidin Osman di sini baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, Masjid Jamek Pulai Sebatang dari Mukim Api-Api mendapat tempat pertama dalam kategori masjid dengan hadiah wang tunai RM4,000, plak dan sijil penyertaan.
Masjid Jamek Parit Betak dari Mukim Benut menduduki tempat kedua dan membawa pulang RM3,000, plak dan sijil penyertaan sementara tempat ketiga dimenangi oleh Masjid Jamek Jalan Parit Ibrahim dari Mukim Pontian menerima RM2,000, plak dan sijil penyertaan.

No comments:

Post a Comment