Monday, October 17, 2011

Tiada bangunan di Jalan Sultan diroboh untuk bina MRT

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Kerajaan memberi jaminan tiada satu pun bangunan di sepanjang Jalan Sultan di sini akan dirobohkan walaupun tidak diwartakan sebagai bangunan warisan berikutan pembinaan projek Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang akan dimulakan sedikit masa lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan dan pihak pemaju juga akan terus mengadakan rundingan dengan para pemilik bangunan di sekitar Jalan Bukit Bintang berkaitan projek tersebut.
"Pemilik projek akan melakukan apa yang diperlukan untuk memastikan kerja pembinaan terowong tidak akan menjejaskan bangunan-bangunan tersebut," katanya ketika menjawab soalan asal Tan Sri Dr. Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, keputusan dan usaha itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira pandangan orang ramai terutama penduduk serta pemilik bangunan sekitar yang disampaikan menerusi 7,000 emel, nota serta borang.
Selain itu, Chan Onn serta Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dalam soalan tambahan turut mempersoalkan isu pemberian semula hak milik tanah ke atas penduduk dan pemilik bangunan di sekitar Jalan Bukit Bintang yang mendapat pampasan ekoran projek itu.
Mengenai perkara itu kata Ahmad: "Saya rasa ada kesilapan teknikal dalam jaminan hak milik tanah. Bagaimana kita hendak beri semula hak milik setelah mereka mendapat pampasan."
Beliau memberitahu, jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang melibatkan pembinaan terowong bawah tanah sejauh 10 kilometer di pusat bandar raya serta melalui bawah 20 lot bangunan di sepanjang Jalan Sultan.
Katanya, jajaran itu dimuktamadkan setelah mengambil kira enam faktor penting iaitu impak sosial yang minimum, pengambilan tanah yang minimum, kebolehan teknikal, pengintegrasian sempurna, penggunaan optimum serta masa perjalanan MRT yang pendek.

No comments:

Post a Comment