Monday, October 24, 2011

UMNO tidak terbabit HIMPUN

KUALA LUMPUR: UMNO tidak terbabit dalam penganjuran perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata dakwaan kononnya parti itu menjadi dalang penganjuran perhimpunan itu bersifat liar dan tidak berasas. 
“UMNO tidak ada kena mengena. Ini kerja NGO (badan bukan kerajaan),” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam. Beliau mendakwa terdapat pihak tertentu cuba mempolitikkan perhimpunan itu dengan menuduh ia program dianjurkan UMNO yang kononnya cuba membangkitkan sentimen perkauman.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, UMNO bagaimanapun tidak menyekat ahlinya untuk menyertai perhimpunan berkenaan memandangkan ia diadakan di tempat bertutup dan mendapat permit polis. 

“Ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah berbanding perhimpunan jalanan atau demonstrasi yang tidak terkawal,” katanya. 

Perhimpunan yang bertemakan ‘Selamatkan Akidah’ itu anjuran bersama NGO Islam, institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, ahli jawatankuasa masjid dan surau serta tenaga guru.

No comments:

Post a Comment