Wednesday, November 30, 2011

100 anak golongan asnaf berkhatan




Ahmad Maslan memandikan kanak-kanak yang menyertai program Berkhatan Perdana di Masjid Jamek Temenggung Daeng Abdul Rahman di Benut, Pontian, baru-baru ini.




PONTIAN 28 Nov. - Kira-kira 100 orang kanak-kanak menyertai program Berkhatan Perdana Peringkat Daerah Pontian anjuran Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Pontian di Masjid Jamek Temenggung Daeng Abdul Rahman Benut, di sini, baru-baru ini.
Mereka merupakan golongan asnaf zakat serta penerima bantuan di bawah program e-Kasih. Program itu diadakan bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa mereka yang kurang berkemampuan bagi mengkhatan anak-anak mereka.
Pegawai Tadbir Pejabat Agama Pontian, Mohd. Fauzi Bachok berkata, penganjuran program dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Yayasan Pembangunan Keluarga Johor Darul Takzim (YPKDT) daerah ini merupakan usaha berterusan MAIJ bagi membela nasib anak-anak golongan tersebut.
"Kerjasama bagi mengenal pasti golongan tersebut turut mendapat kerjasama daripada penghulu-penghulu mukim serta senarai ibu bapa mereka yang menerima bantuan zakat di tempat masing-masing.
"Kami gembira dapat melaksanakan tanggungjawab bagi membantu memudahkan anak-anak ini memasuki alam remaja setelah sampai masanya seperti mana rakan-rakan mereka yang berkemampuan. Harapan saya program seperti ini dapat dijalankan di masa depan dengan penyertaan lebih ramai penerima bantuan," katanya.
Majlis pelancaran dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan turut dihadiri Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan Penghulu Mukim Benut, Abd. Jabal Kiman.
Kesemua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun ini diarak dengan paluan kompang dengan diiringi oleh dua ekor kuda sebelum dimandikan secara beramai-ramai oleh Ahmad sendiri dalam program berkhatan selama empat hari dengan kerjasama daripada Hospital Pontian serta perkhidmatan doktor swasta.
Sementara itu Ahmad mengalu-alukan perkongsian pintar antara jabatan dan agensi kerajaan bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah, sejajar dengan konsep 1Malaysia.
"Selain bantuan kepada keluarga, anak-anak juga turut menerima pelbagai kemudahan daripada MAIJ serta jabatan yang lain supaya mereka tidak merasa terus tersisih daripada masyarakat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment