Wednesday, November 30, 2011

Jangan Dabik Dada, Terus Dekati Rakyat Walaupun 3 Juta Pengundi Adalah Ahli UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengingatkan  semua ahli UMNO agar  tidak mendabik dada kerana ahli UMNO hanya berjumlah 3.4 juta daripada 12 juga rakyat yang boleh mengundi di negara ini.
“UMNO jangan sombong, jangan mendabik dada walau kita parti terbesar dalam negara ini. Jangan sombong dengan rakyat, jangan sombong dengan pengundi dan kaum lain. Ini kerana ahli UMNO hanya 3.4 juga.
“Dari jumlah tersebut, hanya 3 juta yang pengundi adalah ahli UMNO sedangkan pengundi yang ada dalam negara ini ada 12 juta. Jadi, siapakah 9 juta yang lain itu? Jawapannya adalah 9 juta yang lain itu bukan ahli UMNO.
“Oleh itu UMNO tidak boleh sombong kerana UMNO tidak boleh menang hanya dengan UMNO. Kesimpulannya, daripada empat orang, hanya seorang ahli UMNO. Oleh itu kita harus cari, dekati dan kempen untuk mendapatkan undi. Kita harus berbaik dengan semua kaum supaya mereka terus mengundi dan menyokong kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Agenda Melayu ke – 7, Islam Dan Melayu Pasca Pilihan Raya Umum ke 13, anjuran Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di PWTC, di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut mengingatkan rakyat negara ini, pembangkang harus dinafikan menjadi pemimpin kerana pembangkang adalah parti cauvinis yang tidak menerima hakikat bahawa dua per tiga daripada penduduk di negara ini adalah bumiputera.
“Pembangkang juga tidak hormat kepada Raja, bahasa Melayu dan Islam adalah agama rasmi terutamanya DAP. Ini akan memporak perandakan politik di negara ini.
“Kita tidak akan aman. Satu lagi sebab utama mengapa mereka harus dinafikan menjadi pemimpin adalah kerana Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempunyai rekod paling teruk dalam negara ini. Tidak ada ketua pembangkang yang seteruk rekod Anwar Ibrahim. Satu dunia tahu perihal Anwar. Dia sama sekali tidak layak untuk menjadi pemimpin,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment