Thursday, November 17, 2011

Media selami kehidupan peneroka

Media selami kehidupan peneroka

WARTAWAN Utusan Malaysia, Norizan Abdul Muhid menunjukkan kemahiran menoreh getah.


ALOR GAJAH 14 Nov. – Seramai 50 wakil media mewakili pelbagai agensi berpeluang menyelami kehidupan sebenar masyarakat Felda apabila menjadi anak angkat kepada keluarga peneroka Felda Tun Ghafar Hutan Percha, di sini baru-baru ini.
Melalui program Seranta Serancangan Bersama Media-Edisi Khas Rewang Korban Perdana 2011 anjuran Pejabat Seranta (Felda), Jabatan Perdana Menteri (JPM), mereka berkampung selama dua hari untuk merasai kehidupan sebenar masyarakat Felda.
Program yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Korban itu adalah yang ketiga anjuran Felda bermatlamat menjadi medium mendekatkan media dengan peneroka.
Para peserta yang berasal daripada pelbagai profil keluarga dan tinggal di kawasan bandar berpeluang merasai sendiri kehidupan masyarakat peneroka yang mungkin agak asing dengan cara hidup mereka.
Sepanjang menjadi anak angkat, wartawan dan jurugambar menyertai pelbagai acara budaya kampung yang disediakan pada program itu antaranya gotong-royong, ceramah di masjid dan beberapa aktiviti malam hari.
Memandangkan program yang berlangsung sempena meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha, aktiviti rewang yang diadakan lebih kepada membuat persediaan bagi menyambut perayaan itu bermula daripada acara menyembelih lembu sehingga acara memasak juadah.
Pada hari pertama setelah diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing, peserta program kemudiannya menyertai acara rewang yang disertai sebahagian besar penduduk Felda berusia antara 25 hingga 50 tahun.
Aktiviti rewang itu diadakan bagi membuat persediaan untuk acara korban yang akan berlangsung keesokkan harinya selain menyediakan jamuan untuk tetamu yang hadir menjayakan acara rewang tersebut.
Pada acara itu, peserta media berpeluang beramah mesra dan mendekati masyarakat Felda yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan keturunan sekali gus memahami serba sedikit latar belakang budaya penduduk di situ.
Setelah selesai acara rewang, kumpulan media kemudiannya dibawa ke rumah keluarga angkat masing-masing dan mempersiapkan diri untuk menyertai kehidupan malam masyarakat Felda.
Penduduk Felda bergotong-royong melapah daging lembu sempena Majlis Seranta Serancangan Bersama Media di Alor Gajah, Melaka, baru- baru ini.


Hakikatnya, kehidupan malam penduduk Felda lebih menarik dan meriah daripada apa yang digambarkan oleh masyarakat luar sebelum ini dengan mendakwa kehidupan malam di kawasan itu agak membosankan.
Selesai acara ceramah di masjid, penduduk Felda kemudiannya membuat persiapan mengadakan aktiviti tayangan wayang pacak iaitu acara menonton tayangan video filem semasa menerusi skrin besar yang dipasang di kawasan lapang.
Pada malam itu, hampir keseluruhan penduduk Felda beramai-ramai memenuhi perkarangan Dewan Orang Ramai Felda Tun Ghafar Hutan Percha untuk menyaksikan tayangan wayang pacak yang ketika itu menyajikan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Selain acara tayangan video, ada sebahagian penduduk juga mengadakan aktiviti bermain badminton dan ada yang terlibat dengan persembahan aktiviti kebudayaan.
Bagi rakan media, kesempatan itu diadakan dengan berbual-bual dengan golongan peneroka yang rata-ratanya terdiri dari kumpulan generasi awal.
Pada hari perasmian program Seranta Serancangan Bersama Media-Edisi Khas Rewang Korban Perdana 2011, rakan media memulakan hari itu dengan menyertai beberapa peneroka ke ladang getah mereka untuk merasai sendiri pengalaman menoreh pokok getah.
Namun, tidak sampai 20 minit memotong getah, ada sebahagian media yang tidak mampu menahan serangan serangga kecil seperti semut dan nyamuk ketika cuba menoreh sebuah pokok getah.
Tiba di kemuncak program itu, sebanyak 20 ekor lembu dikorbankan simbolik pelancaran program berkenaan yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Hadir sama, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

No comments:

Post a Comment