Thursday, November 17, 2011

Mohamad Aziz bidas pembangkang

Mohamad Aziz bidas pembangkang
KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kecewa dengan tindakan pembangkang yang sering membantah projek kerajaan walaupun terbukti memberi manfaat kepada negara, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz meminta mereka menghentikan tindakan seperti itu.
Menurutnya, dulu pembangkang turut membantah projek pembinaan jambatan Pulau Pinang, pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya dan bangunan Dayabumi.
Katanya, kini mereka membantah pula projek transit aliran massa (MRT) sebagai kisah ulangan yang bertujuan untuk memburuk-burukkan kerajaan.
“Tidak ada projek atau usaha kerajaan untuk memaju serta menjayakan negara yang tidak dibangkang mereka. Apa yang dibuat oleh kerajaan sentiasa dibantah oleh pembangkang. Ini semua ulangan.
“Jadi, rakyat harus faham ini antara taktik kotor pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan,” katanya ketika bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pada sesi soal jawab, hari ini.
Mohamad berkata, projek MRT merupakan satu projek jangka panjang kerajaan untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang selama ini menghantui rakyat.
“Sudah tentu Tan Sri Pandikar Amin Mulia, projek ini adalah untuk menangani masalah kesesakan jalan raya. Jelas, sekarang ini pun telah sesak, 10 tahun lagi sudah tentu akan lebih sesak. Inilah projek jangka panjang kerajaan demi keselesaan rakyat,” katanya.
Sebelum itu, Khalid Samad (Pas-Shah Alam) berkata, beliau tidak membantah projek MRT, tetapi cuma mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak menteri.
Dalam pada itu, beliau sejak awal-awal lagi dengan sinis turut memperlekehkan usaha kerajaan Melaka memperkenalkan perkhidmatan monorel di negeri itu walaupun telah diperjelaskan, masalah yang dihadapi hanya sedikit iaitu pintu monorel gagal berfungsi.
Menurut Ahmad, selepas pintu itu kembali berfungsi khidmat monorel di Melaka sejauh 1.2 kilometer telah dibenarkan beroperasi semula.
Terdahulu Ahmad berkata, kebanyakan bandar raya besar di seluruh dunia seperti London, New York, Seoul, Hong Kong dan Singapura mempunyai sistem pengangkutan rel bandar yang menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan awam dan ia meliputi MRT, transit aliran ringan (LRT) dan tren komuter.
“Oleh itu pada 17 Disember 2010, kerajaan telah mengumumkan projek MRT di Lembah Klang dengan memulakan projek jajaran pertama melibatkan laluan Sungai Buloh hingga ke Kajang sejauh 51 kilometer.
“Jajaran ini akan memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta penduduk apabila siap dan kita jangka MRT boleh membawa lebih 440,000 penumpang sehari,” ujarnya.
Beliau turut membidas Khalid apabila Ahli Parlimen Shah Alam itu menyatakan kos keseluruhan MRT melibatkan perbelanjaan RM50 bilion.
“Untuk tiga jajaran kosnya yang sebenar ialah RM40 bilion dan bukan RM50 bilion seperti dinyatakan oleh Khalid,” katanya.

No comments:

Post a Comment