Monday, November 21, 2011

Najib rasmi Seminar Pemahaman Wasatiyyah, 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia pada 26 November sebelum Perhimpunan Agung Umno di sini. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata seminar itu akan mengupas lebih mendalam maksud Wasatiyyah dan kaitannya dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Najib.

Katanya, istilah Wasatiyyah secara mudahnya bermaksud "pemikiran tidak ekstrem" seperti yang diamalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.
"Wasatiyyah ini adalah satu gerakan yang dipelopori oleh Datuk Seri Najib dan sentiasa disebut oleh beliau bukan hanya dalam negara tetapi juga di luar negara dalam ucapan beliau, terbaru di Hawaii, Amerika Syarikat. "Ia kini menjadi perhatian pemimpin luar tetapi sebelum ia laku di luar negara, dalam negara ini sendiri ia perlu difahami oleh pimpinan dan juga rakyat dan kaitannya dengan Gagasan 1Malaysia," kata Ahmad pada sidang akhbar mengenai seminar berkenaan di sini, hari ini. Ahmad menjelaskan kefahaman terhadap Wasatiyyah perlu kerana istilah itu kini diertikan sebagai kesederhanaan, pertengahan dan perimbangan. Seminar julung kali mengenai Wasatiyyah anjuran UMNO itu akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. "Lebih 1,000 kad jemputan sudah dihantar dan sehingga kini lebih 600 peserta mengesahkan kehadiran mereka," katanya. Peserta terdiri daripada kalangan pemikir, ahli akademik, warga korporat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ahmad berkata, mereka termasuk presiden International Movement for a Just World, Dr Chandra Muzaffar, bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas. "Antara aspek yang akan dibincangkan ialah bagaimana konsep Wasatiyyah diguna pakai dalam pelaksanaan pentadbiran agama dan bagaimana organisasi boleh memanfaatkan amalan kesederhanaan," katanya. Sekretariat seminar itu boleh dihubungi di talian 03-40436433.

No comments:

Post a Comment