Thursday, November 10, 2011

PBSP mampu aktifkan semula liga tempatan

PONTIAN 9 Nov. - Pendaftaran Persatuan Bola Sepak Pontian (PBSP) diharap dapat mengaktifkan kembali pertandingan bola sepak liga tempatan bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan tersebut.

Yang Dipertua Penajanya, Muji Salimon berkata, pembatalan Persatuan Bola Sepak Daerah Pontian (PBSDP) sejak 2004 menyebabkan pertandingan liga tempatan terpaksa dianjurkan oleh pihak lain, namun pendaftaran semula PBSP mampu menghidupkan kembali liga berkenaan.
Menurutnya, dengan adanya persatuan baru itu, ia juga akan memudahkan daerah Pontian menghantar pasukan menyertai pertandingan bola sepak yang dianjurkan di peringkat negeri dan liga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
''Dengan bantuan serta sokongan ahli-ahli jawatankuasa penaja, kami berharap kelulusan PBSP dapat disegerakan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti dapat dirancang tahun depan," katanya pada majlis minum petang bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di Hotel Pontian kelmarin.
Pada perjumpaan tersebut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada PBSP dan 30 helai jersi bagi pasukan itu yang akan bersaing merebut Piala Tunku Mahkota Johor (TMJ) daerah Pontian. Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Penaja PBSP, Mohd. Sumali Reduan.
Muji yang juga Pegawai Daerah Pontian berkata, sokongan semua pihak amat penting bagi memastikan aktiviti yang dianjurkan PBSB berjalan lancar terutamanya bagi menampung kos pengurusan pasukan.
"Kami mengakui bahawa kantung PBSP amat kritikal waktu ini menyebabkan kami perlu berhati-hati dalam soal kewangan agar tidak memberi kesan kepada perjalanan PBSP kelak," katanya sambil melahirkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa penaja yang berusaha gigih meningkatkan pembangunan bola sepak di daerah itu.
Dalam pada itu, beliau meminta para pemain yang dipilih mewakili Daerah Pontian supaya menunjukkan permainan bersih, mematuhi peraturan serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

No comments:

Post a Comment