Monday, November 14, 2011

Peneroka FELDA tidak hilang tanah, insentif

Kerajaan beri jaminan penyenaraian FGVH tak jejas hak

PEKAN: Kerajaan memberi jaminan peneroka FELDA tidak akan kehilangan tanah dan semua insentif seperti pembayaran dividen, bonus dan duit raya yang diterima ketika ini selepas FELDA Global Venture Holdings (FGVH) disenaraikan di Bursa Malaysia Jun tahun depan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata peneroka tidak perlu bimbang mengenai perkara itu kerana kerajaan sentiasa melindungi kepentingan peneroka.

Sambil mengakui ada kekhuatiran di kalangan peneroka mengenai perkara itu, beliau menjelaskan semua kelebihan yang sudah diperoleh peneroka akan terus dinikmati pada masa akan datang.
“Kita akan pastikan mereka tidak rugi (dengan penyenaraian FGVH) malah akan memperoleh lebih banyak keuntungan. Apa yang peneroka dapat sebelum ini kita beri jaminan mereka masih memperolehnya. “Mengenai kebimbangan peneroka akan hilang pemilikan tanah... sebenarnya kita tidak akan sentuh walau segenggam tanah mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semai Bakti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di Felda Chini, dekat sini, semalam. Ahmad berkata, kerajaan tidak akan membabitkan kira-kira 500,000 hektar ladang milik peneroka dalam proses penyenaraian itu dan kekal menjadi milik mereka. Bagaimanapun katanya, ia akan membabitkan tanah ladang milik mereka yang diuruskan FELDA Plantations ketika ini yang berkeluasan 360,000 hektar melalui kaedah pajakan kepada FVGH. “Ini belum keputusan akhir... ia masih di peringkat penelitian dan perbincangan kerana kita masih ada masa sebelum penyenaraian pertengahan tahun depan,” katanya. Beliau berkata, kerajaan sentiasa menimbang segala tindakan berhubung proses penyenaraian FGVH bagi memastikan kepentingan peneroka, FELDA dan negara tidak terjejas. Mengenai maklum balas yang diterima pihaknya berhubung penyenaraian itu, Ahmad berkata, warga peneroka sebahagian besarnya memahami faedah daripada proses penyenaraian itu. 

No comments:

Post a Comment