Monday, November 14, 2011

Perhimpunan Agung UMNO platform terbaik bincang PRU13

PEKAN 13 Nov. - Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini adalah platform terbaik untuk para perwakilan menyuarakan segala pandangan mereka mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang termasuk kriteria calon boleh menang.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, peluang itu harus dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat memenangi pilihan raya umum kelak dengan keputusan majoriti dua pertiga.
''Saya harap perwakilan akan membincangkan dengan teliti bagaimana nak menang kawasan yang kalah, mengukuhkan kemenangan di kerusi sedia ada dan menawan semula negeri yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
''Perwakilan kena jelaskan perkara ini kerana sangat rugi jika ia tidak dibincangkan dengan teliti kerana pilihan raya umum sudah semakin dekat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semai Bakti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di Felda Chini 2 di sini hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2011 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 29 November hingga 3 Disember ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meminta para perwakilan membincangkan mengenai dasar transformasi yang sedang dilakukan kerajaan terhadap politik, ekonomi, pentadbiran, luar bandar, digital dan gagasan 1Malaysia.
Tambahnya, mereka sebenarnya bebas mengemukakan permasalahan berkaitan perkara itu supaya pemimpin parti memperoleh maklum balas dan memperbaiki kelemahan demi kepentingan rakyat.
"Mereka boleh bercakap apa sahaja dalam perhimpunan, asalkan tidak menyentuh perkara sensitif berkaitan kaum, agama dan raja," jelasnya.

No comments:

Post a Comment