Wednesday, November 30, 2011

Persoal wasatiyyah, pembangkang tandus idea


Pengarang Kanan Utusan Online, Gamal Nasir Mohd. Ali memberi taklimat ringkas kepada Ahmad Maslan sebelum memulakan sesi Program Jom Chat Bersama... di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Nov. - Tindakan pembangkang mempersoalkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) jelas membuktikan mereka sudah ketandusan idea.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia juga menunjukkan pembangkang semakin gusar dan bimbang dengan pelbagai pembaharuan kerajaan yang dilihat mampu menjejaskan pengaruh mereka.
"Itu (persoal) mereka tiada idea. Kita (kerajaan) banyak idea ke depan. Mereka (pembangkang) tak keluarkan apa idea pun. Buku Jingga? Itu bukan idea.
"Kita keluarkan gagasan-gagasan besar dan ilham yang baik untuk rakyat. Tiada pula kita mendengar gagasan-gagasan besar yang diilhamkan pembangkang untuk negara.
"Negara Berkebajikan? Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun sudah kerajaan wujudkan sejak 1950-an lagi. Inilah pembangkang yang tak keluarkan apa-apa idea pun," katanya ketika ditemui pada program Jom Chat Bersama... di Ibu Pejabat Utusan Melayu di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan tindakan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah di samping kemampuan kerajaan melaksanakan konsep itu.



Mengulas lanjut, Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, konsep wasatiyyah adalah gerakan global dan ia diperkenalkan bukan disebabkan oleh populariti gagasan 1Malaysia yang didakwa pembangkang semakin menurun.
"Dakwaan itu tidak benar kerana wasatiyyah adalah gerakan global. Kalau pembangkang, untuk global lagilah mereka tiada ilham," tegasnya.
Dalam perkembangan lain jelasnya, Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jika setiap ahlinya mempunyai kesungguhan untuk menang.
"Jika sudah menang 80 minit terawal, jangan 10 minit terakhir kita kalah pula. Itu ingatan yang cukup jelas. Kita perlu pastikan terus menang," katanya.


No comments:

Post a Comment