Wednesday, November 30, 2011

Pertandingan pidato cari pelapis


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) merupakan medium terbaik mencari barisan pemimpin pelapis parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, melalui pertandingan itu, generasi muda berbakat yang mempunyai kemahiran tinggi dalam pengucapan awam dapat dikesan dan diasuh bagi meneruskan perjuangan parti.
"Pada masa ini, salah satu ciri penting untuk menjadi pemimpin ialah mempunyai kemahiran berhujah dengan baik bagi menyampaikan dasar parti kepada masyarakat.
"Pertandingan yang kali pertama diadakan ini turut menyerlahkan sifat keterangkuman yang dibawa BN dan UMNO dan lebih penting generasi muda mendekati kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menjadi juri pertandingan akhir pidato itu bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan bekas pengacara televisyen, Datin Norjuma Habib.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, langkah kerajaan meminda Seksyen 15 Akta Kolej dan Universiti (AUKU) merupakan tindakan tepat kerana ia membolehkan mahasiswa mendekati kerajaan dan menyampaikan pandangan mereka.
"Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana terbukti mereka bersama kita dan ini merupakan lembaran baru dalam BN.
"Kita bercadang untuk menjadikan pertandingan pidato ini sebagai acara tahunan dan seperti yang dikatakan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, mereka akan diserapkan ke dalam jentera penerangan UMNO," katanya.

No comments:

Post a Comment